Ratu cosplay nyata kreatif

Ratu cosplay nyata kreatif

asyikin.mat@hmetro.com.my

WANITA ini boleh dianggap sebagai ratu pemain cosplay kerana sudah menyertai lebih 150 pertandingan sejak 2018.

Malah dia juga sering bernasib yang baik dan turut berjaya merangkul 63 kemenangan daripada keseluruhan pertandingan disertainya.

Setakat ini, dia berjaya mengumpul wang kemenangan lebih RM20,000.

Menariknya wanita ini bukan hanya pemain cosplay tetapi juga pereka kostum yang dipakai dalam pertandingan disertainya.

Selain itu turut diundang untuk mengadili lebih kurang 15 pertandingan cosplay.

Kostum dihasilkannya sangat kreatif, unik dan sentiasa menambat hati juri hingga melayakkannya dipilih sebagai pemenang.

Nurul Atiqah Ramli, 36, berkata, dia memasuki dunia cosplay kerana minat dan mahu menjadikan watak kartun yang diminati ketika kecil ke realiti apabila dewasa.

Menurutnya, kali pertama dia menyertai pertandingan kurang bernasib baik kerana pulang tanpa kemenangan disebabkan hanya memakai kostum dibeli dan juga tidak mengetahui cara ‘berposing.’

“Saya masih ingat ketika bertanding (pertandingan pertama), juri ada bertanya mengenai kostum saya dipakai sama ada dihasilkan sendiri atau dibeli.

“Dari situ (pertanyaan juri) saya dapat ‘clue’ (petunjuk) bahawa untuk menyertai pertandingan cosplay, peserta perlu menghasilkan sendiri kostum dipakai supaya ada ‘impact’ kepada penonton yang menyaksikannya.

“Ini mendorong saya untuk menghasilkan kostum sendiri supaya boleh menang dalam pertandingan seterusnya.

“Kostum pertama saya hasilkan ialah watak ‘Sailor Moon Eternal’ yang mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan,” katanya.

Jelasnya, kemudian dia menyertai satu pertandingan dan memenangi tempat pertama pada 2018.

“Sejak itu, orang mula mengenali saya yang menggunakan nama samaran ‘Kinomoto Sakura’ dan aktif menyertai banyak pertandingan serta menghasilkan kostum sendiri.

“Antara kostum dihasilkan ialah Eternal Sailor Moon, Card Captor Sakura, Trunks, Cinderella, Lillymon, Rosemon, Super Sailor Moon dan Ejen Kim (Ejen Ali The Movie).

“Watak kegemaran saya ialah Sailor Moon dan Card Captor Sakura,” katanya.

Wanita berasal dari Perak itu berkata, menghasilkan kostum cosplay tidak mudah kerana perlu memerah otak untuk memikirkan konsep dan watak yang sesuai mengikut tema pertandingan.

“Selalunya saya akan merujuk internet untuk mencari idea dan konsep sesuai.

“Ilmu seni halus yang saya pelajari ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) banyak membantu mendapatkan idea kreatif untuk menghasilkan kostum.

“Saya ambil masa dua minggu untuk menyiapkan kostum bermula dengan mencari idea di internet, jenis material, reka bentuk dan menjahit,” katanya.

Nurul Atiqah berkata, antara pengorbanan yang terpaksa dilalui ialah dari segi masa kerana ada kalanya tidak tidur malam demi menyiapkan kostum terutama apabila idea datang mencurah-curah.

“Namun ini tidak pernah membuatkan saya rasa terbeban kerana lebih mencari kepuasan apabila rekaan kostum yang dihasilkan menarik dan dapat memenangi pertandingan.

“Dari segi modal untuk kostum pula tidak tinggi kerana saya bijak mencari material yang harganya berpatutan.

“Lagi pun, setiap kostum boleh digunakan berulang kali dalam pertandingan berbeza tetapi menggunakan konsep suai padan supaya lebih menarik,” katanya.

Nurul Atiqah berkata, antara kelebihan terbabit dalam dunia cosplay ialah mendapat ramai kenalan baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pekerjaan hebat dalam bidang profesional.

“Selain itu, wang kemenangan boleh menjadi pendapatan tambahan.

“Paling menyeronokkan apabila ia adalah ‘terapi’ kerana pemain cosplay akan keluar daripada watak sebenar mereka dan menjelma sebagai watak cosplay.

“Ini membuatkan saya dapat melupakan masalah seketika atau menghilangkan tekanan,” katanya.

Katanya lagi, aktiviti itu juga dapat mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ini kerana ada satu program Pertandingan ‘World Cosplay Summit Malaysia’ yang mana peserta terbaik akan dipilih untuk bertanding di luar negara dan selalunya diadakan di Jepun.

“Impian saya ialah mahu bertanding cosplay di peringkat antarabangsa dan diharapkan dapat dicapai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top