Teguh, berseni

Teguh, berseni

asyikin.mat@hmetro.com.my

Melihat hasil tangan tukang kayu ini membina rumah tradisional Melayu pasti sesiapa pun rasa kagum dengan kebolehan dimilikinya.

Ini kerana kebolehan itu semakin ‘mahal’ dan tidak ramai mempunyai kelebihan atau kemahiran seperti itu.

Semua ilmu dipelajari daripada bapanya ketika usia belasan tahun dan kini menjadikan Mohd Suhaimi Ibrahim, 56, sebagai tukang rumah kayu yang hebat dari Johor.

Apa tidaknya, ratusan rumah kayu tradisional Melayu terbina daripada tangan Muhamad Suhaimi.

Menurutnya, kerja membina rumah kayu tradisional Melayu agak rumit kerana memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.

“Elemen ini menjadikan rumah yang dibina sangat menarik dan unik.

“Keindahan ukiran kayu yang menghiasi rumah ini menjadikannya eksklusif dan menambahkan lagi nilai estetika seni binanya.

“Kebanyakan rumah kayu tradisional yang saya bina dihiasi dengan ukiran kayu bermotifkan bunga raya dan lada hitam,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, ukiran kayu itu dihasilkan secara manual menggunakan tangan dan sebahagiannya menggunakan mesin.

Jelasnya, jenis kayu juga memainkan peranan untuk mendapatkan hasil ukiran kayu yang menarik.

“Saya lebih suka membuat ukiran menggunakan kayu jenis cengal. Selain proses ukiran menjadi lebih mudah ia juga akan menghasilkan kualiti lebih cantik.

“Oleh kerana kualiti kayu cengal yang tinggi menyebabkan harganya mahal, sekali gus turut mempengaruhi harga hasil kerja ukiran kayu ini dan rumah berkenaan,” katanya.

Katanya, dia tidak menggunakan jenis kayu kapur untuk ukiran disebabkan permukaan kayu itu tidak licin yang akan menyebabkan hasilnya kurang memuaskan.

“Rumah saya bina masih mengekalkan ciri-ciri asli binaan rumah tradisional Melayu iaitu menggunakan sistem tanggam walaupun tidak sepenuhnya.

“Tanggam adalah kaedah untuk menyambung dan menyatukan bahagian kayu seperti pada tingkap dan pintu,” katanya.

Bagaimanapun, tidak semua berminat menggunakan kaedah tanggam dalam pembinaan rumah mereka.

“Ini kerana proses membuatnya rumit dan mengambil masa untuk disiapkan akan mempengaruhi harga rumah yakni lebih mahal.

“Namun begitu, semakin ramai berminat membina rumah kayu berbanding batu bata atau konkrit.

“Ini kerana suasana rumah lebih sejuk disebabkan terdapat banyak laluan angin,” katanya.

Katanya, jenis kayu digunakan untuk pembinaan rumah kayu tradisional Melayu ialah cengal, merbau, kapur dan balau kerana berkualiti tinggi serta tahan daripada serangan serangga anai-anai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top