Yazmin Aziz terpaksa tarik diri FD4 kerana komitmen kerja

Yazmin Aziz terpaksa tarik diri FD4 kerana komitmen kerja

georgie@hmetro.com.my

Shah Alam: Komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan menjadi punca penyanyi Yazmin Aziz, 23, terpaksa menarik diri sebagai pasangan Didi Astillah, 28, bagi Famili Duo musim keempat (FD4).

Penerbit Eksekutif FD4, Muhamad Sufian Che Isa, berkata itu keputusan terbaik bagi melancarkan perjalanan program sebelum mendapatkan Thamiera Chan untuk mengisi kekosongan itu.

“Yazmin kurang masa untuk memberi komitmen dalam FD4 ini. Jadi, bila kita berbincang dari kedua pihak, lebih baik untuk menukar dan ini atas persetujuan Didi juga. Jadi, kami terpaksa menukar duo itu untuk kelancaran program.

“Sewaktu sidang media diadakan pada 13 Oktober lalu, perkara ini masih dalam perbincangan, jadi belum ada kata putus. Akhirnya, kami terpaksa ambil keputusan kerana daripada pihak produksi juga ada beberapa perkara sudah dirancang seperti promosi untuk setiap gandingan.

“Atas persetujuan kedua belah pihak, kami rasa lebih baik begini. Perkara itu masih boleh diatasi dan diteruskan dengan konsert minggu pertama walaupun masa agak kurang untuk Didi membuat persiapan,” katanya.

Pencarian pasangan untuk Didi juga cuma berlaku selepas Yazmin sah tarik diri.

Sufian menegaskan pasangan duo tidak boleh diambil sembarangan dan wajib ada pertalian saudara.

“Selepas kami berbincang, Didi mencadangkan Thamiera. Kemudian kami berbincang pula dengan Thamiera termasuk pihak pengurusannya sebelum masing-masing bersetuju.

“Tiada kerugian kepada pihak produksi dan pengunduran Yazmin juga tidak berkait dengan masalah disiplin, tapi ia lebih kepada komitmen jadual kerjanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top