Lelaki raih 4 PhD, 4 ijazah sarjana cetus perdebatan

Lelaki raih 4 PhD, 4 ijazah sarjana cetus perdebatan

Beijing: Seorang lelaki dari China mengejutkan media sosial tanah besar itu dengan pencapaian akademiknya yang luar biasa, lapor South China Morning Post (SCMP).

Ia termasuklah dua ijazah sarjana muda, empat ijazah sarjana, empat doktor falsafah (PhD) dan lebih daripada 20 keahlian dalam organisasi akademik.

Zhao Zijian, 29, mencetuskan perdebatan awam selepas Institut Penyelidikan Budaya dan Seni Kebangsaan Mongolia mengumumkan pelantikannya sebagai penyelidik dan berkongsi kelayakan akademiknya yang luar biasa.

Zhao menyatakan, dia memperoleh ijazah kedoktoran dalam seni persembahan, psikologi, pendidikan dan pengajian alkitab.

Dia secara khusus menyebut dua institusi di mana dia menamatkan pengajian kedoktorannya, sebuah ‘universiti Katolik’ di Korea Selatan dan Lyceum of the Philippines University, sebuah sekolah swasta.

Dia juga mendakwa memegang beberapa ijazah sarjana dalam bidang komunikasi, pengajian Buddha dan pengajian kesedaran dari Universiti Hong Kong, Universiti Baptist selain dari dua universiti lain iaitu Universiti Zaragoza dan Miguel de Cervantes European University di Sepanyol.

Selain ijazah sarjana mudanya, Zhao mempunyai 22 keahlian dalam pelbagai akademik merangkumi bidang seperti ekonomi dan perubatan.

Ramai pihak mempersoalkan kelayakan akademik Zhao sebagai ‘berlawanan dengan akal sihat’ kerana kebanyakan PhD biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk disiapkan.

Institut itu menyatakan ia telah menggantung kerjasamanya dengan Zhao dan melancarkan siasatan terhadap kelayakan akademiknya.

Pada 12 Oktober, Ketua Institut itu, Yin Fujin memaklumkan kepada China Newsweek bahawa tiada ‘pemalsuan yang jelas’ ditemui.

Beliau mengesahkan kesemua empat ijazah sarjana Zhao lulus pengesahan rasmi daripada daripada Pusat Perkhidmatan China untuk Pertukaran Ilmiah (CSCSE).

Bagaimanapun, hanya satu daripada PhD Zhao, lulus pengesahan, sementara satu masih dalam proses dan Yin menyebut bahawa Zhao ‘tidak bercadang untuk mengesahkan dua yang lain’.

Yin menyatakan Zhao memenuhi keperluan mereka untuk jawatan penyelidik dan kesal atas masalah yang dialaminya.

Zhao bagaimanapun tidak menjelaskan kontroversi yang sedang berlaku.

Pengulas dalam talian membangkitkan kebimbangan tentang kesahihan kelayakan akademiknya.

Difahamkan beberapa ijazahnya diperoleh menerusi dalam talian dan Miguel de Cervantes European University tidak disenaraikan dalam senarai pengesahan rasmi.

CSCSE juga menetapkan Lyceum of the Philippines University, tempat jabatan psikologi Zhao beroperasi, sebagai salah sebuah daripada 13 institusi luar negara yang berpangkat lebih rendah dan memerlukan pengesahan rapi Julai tahun ini.

Kebanyakan daripada 22 keahlian akademik didakwanya adalah keahlian awam atau pelajar yang boleh diperoleh dengan yuran keahlian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top