mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan perlu segera melaksanakan dasar kawalan kredit pengguna berikutan peningkatan hutang skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) semakin popular digunakan generasi muda hari ini.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, trend itu amat membimbangkan dengan hutang BNPL meningkat kepada RM1.42 bilion.
Katanya, majoriti 3.7 juta pemegang akaun BNPL adalah mereka yang berusia 21 hingga 45 tahun.
“Tidak seperti pinjaman kad kredit dan pinjaman peribadi, BNPL selalunya tidak memerlukan semakan kredit mendalam.
“Dalam hal ini, Bachok menyambut baik inisiatif Bank Negara dan kerajaan untuk merangka satu dasar kawalan yang lebih komprehensif bagi mengawal selia pelbagai entiti perkhidmatan kewangan atas talian.
“Kerajaan perlu menyegerakan tindakan menyediakan peraturan kawalan kredit pengguna yang lebih bertanggungjawab,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Syahir berkata, tiga isu struktural akan menjadi bom jangka kepada ekonomi negara.
“Pertama isu, hutang kerajaan yang menuntut iltizam semua pihak untuk menambah baik tata kelola fiskal.
“Kedua isu keberhutangan dalam kalangan generasi muda, di mana Menteri Kewangan II melaporkan seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun dibebani hutang terkumpul RM1.9 bilion.
“Ketiga, walaupun sejak 2022 angka asas statistik pengangguran baik, namun isunya adalah isu pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan sebagai contoh graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang sepatutnya menjadi juruteknik terlatih di industri, bekerja sebagai penghantar makanan.
“Fenomena ini boleh dilihat sebagai bom jangka dalam tempoh panjang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




