Baru-baru ini, pelakon terkenal, Fattah Amin, sekali lagi telah menjadi perhatian ramai apabila dia menunjukkan keprihatinan dengan memutuskan untuk menyalurkan komisen jualan kambing perap yang diusahakannya kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Dalam tempoh tiga jam bersiaran di platform TikTok, Fattah berjaya menjual hampir 10,000 set kambing perap.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh jenama kambing perap tersebut di akaun TikTok, Fattah, atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, memilih untuk menolak komisen tersebut dan memohon agar pihak syarikat menguruskannya sebagai infak kepada golongan yang memerlukan.
Dalam tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan, Fattah menulis dengan jelas bahawa beliau ingin pihak syarikat membantu menguruskan infak tersebut.
Alhamdulillah, terima kasih bos. Cuma komisen tu nak minta tolong team Pak Mat uruskan, infakkan kepada yang memerlukan.
Walaupun jumlah sebenar komisen yang diperoleh Fattah tidak didedahkan, tindakan ikhlasnya ini telah mendapat pujian dari peminat dan netizen.
Ramai yang mengagumi keprihatinan Fattah untuk berkongsi rezekinya dengan mereka yang memerlukan, sekaligus menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang selebriti.
#OhmediaNasihat
Sikap dermawan Fattah Amin ini wajar dijadikan contoh. Bagi mereka yang dikurniakan rezeki lebih, tidak salah jika kita berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Ia bukan sahaja dapat meringankan beban orang lain, malah membuka pintu keberkatan dalam hidup kita. Ambillah iktibar daripada tindakan ini dan jadikan amalan memberi sebagai salah satu cara untuk memberi makna lebih dalam kehidupan.





