Serangan terhadap UMNO jejas keyakinan akar umbi hubungan BN-PH

IPOH – Serangan berterusan terhadap UMNO oleh pimpinan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan tidak membantu membina keyakinan dan kepercayaan ahli di peringkat akar umbi terhadap kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, UMNO menghormati pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun pada masa sama realiti dan sentimen akar umbi tidak boleh diketepikan.

Menurutnya, kerjasama antara BN dan parti dalam PH sejak awal bukan sesuatu yang mudah diterima sebahagian ahli parti itu terutama UMNO.

“Kita perlu kembali kepada asas bagaimana Kerajaan Perpaduan ini terbentuk. Persefahaman yang wujud hari ini lahir dalam kerangka pembentukan kerajaan selepas PRU15 dan UMNO memilih untuk meletakkan kestabilan politik serta kepentingan negara sebagai keutamaan.

“Namun apabila wujud kenyataan atau tindakan daripada komponen tertentu dalam PH yang menyentuh garis merah serta sensitiviti perjuangan UMNO, ia sudah tentu menambahkan keresahan di peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan pasca Kongres PKR termasuk kritikan terbuka terhadap UMNO serta kesannya terhadap hubungan kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Media sebelum ini melaporkan Kongres Nasional Keadilan 2026 yang berlangsung di Melaka hujung minggu lalu menjadi medan perwakilan PKR menjadi medan mengkritik UMNO susulan kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak jujur, selain diibaratkan sebagai ‘menikam dari belakang’ PKR.

Beberapa perwakilan menjadikan isu kerjasama PKR menerusi PH dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak diterjemahkan dalam pilihan raya, terutama di Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan prestasi gabungan PH menjunam.

Sementara itu, Mohammad Sollehin berkata, keputusan dua PRN lalu juga perlu dibaca secara serius kerana memberikan isyarat bahawa akar umbi semakin jelas mengenai bentuk dan hala tuju politik yang mereka mahukan menjelang pilihan raya akan datang.

“Saya fikir jawapannya semakin terang. Siri kenyataan dan serangan terbuka antara pimpinan kedua-dua blok, termasuk apa yang berlaku dalam kongres baru-baru ini, menunjukkan jurang politik antara kedua-duanya semakin melebar.

“Persoalan sekarang bukan lagi siapa hendak menyelamatkan siapa. Kita perlu bercakap tentang moving forward. Kerjasama dalam kerajaan tidak semestinya bermaksud perkahwinan politik untuk selama-lamanya,” katanya.

Mohammad Sollehin berkata, UMNO mempunyai hak menentukan haluan berdasarkan kehendak ahli dan akar umbi sendiri apabila tiba masa pilihan raya, walaupun kestabilan pentadbiran negara ketika ini terus dihormati.

Mengulas dakwaan serangan terhadap UMNO mungkin menjadi usaha mengalih perhatian daripada isu dalaman PKR, beliau enggan membuat spekulasi sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, PKR perlu menilai sendiri sama ada serangan terhadap UMNO mampu menyelesaikan keresahan rakyat terhadap parti berkenaan.

“Apabila rakyat mula memberikan isyarat, jangan terperangkap dalam denial syndrome. UMNO pernah melalui zaman apabila terlalu yakin dengan kekuatan sendiri sehingga gagal membaca perubahan sentimen rakyat.

“Kita membayar harga yang sangat mahal dan belajar daripada sejarah hitam tersebut. Sebab itu apabila rakyat menegur, dengarlah. Kalau tersilap, akuilah kesilapan dan kalau perlu meminta maaf, mintalah maaf dengan ikhlas. Selepas itu biarkan rakyat menilai,” katanya.

Menurutnya, menjadikan UMNO sebagai sasaran mungkin mendapat tepukan dalam dewan kongres namun belum tentu memberikan jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat.

Dalam pada itu, Mohammad Sollehin berkata, UMNO perlu memberi fokus membina kekuatan sendiri, menyatukan ahli dan kepimpinan, mengurangkan perbezaan dalaman serta memperkukuhkan organisasi.

Katanya, proses meremajakan parti juga perlu diteruskan bagi memastikan UMNO mempunyai barisan kepimpinan yang sentiasa mempunyai pelapis.

“UMNO tidak perlu bermusuh dengan sesiapa. Tetapi UMNO juga tidak boleh bergantung kepada sesiapa.

“Bina kekuatan kita sendiri terlebih dahulu. Apabila UMNO kuat, kita tidak perlu mengejar sesiapa untuk bekerjasama dengan kita. Orang lain yang akan melihat nilai untuk bekerjasama dengan UMNO,” katanya.

 

Scroll to Top