suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang singgah bersarapan di sebuah restoran di Pusat Komersial Sinar Sentul, di sini, semalam, cedera diserang sekumpulan lelaki.
Mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, kejadian kira-kira 8.30 pagi itu bermula apabila dua lelaki menegurnya kerana didakwa memandang mereka ketika dia baru tiba di restoran bersama rakan.
“Saya baru sampai dan baru nak pesan air. Saya kemudian minta mereka beredar kerana saya datang ke situ untuk sarapan.
“Selepas itu, ketika makanan yang saya pesan baru sampai dan belum sempat makan, sekumpulan lelaki tiba di restoran dengan menaiki kira-kira lima atau enam motosikal serta sebuah kereta.
“Mereka menghampiri meja saya dan mempersoalkan mengapa saya mengganggu rakan mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Mangsa berkata, keadaan kemudian menjadi tegang apabila dia ditolak sebelum seorang daripada lelaki terbabit menyerangnya, menyebabkan berlaku kekecohan di dalam restoran.
Menurutnya, pekerja restoran cuba membantu dengan membawanya ke dapur sebelum meminta dia melarikan diri melalui pintu belakang bagi mengelakkan serangan berterusan.
“Saya sudah buat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum pergi ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Saya hanya cedera ringan,” katanya.
Sementara itu, pemilik premis yang enggan dikenali berkata, berdasarkan video kejadian, sekumpulan lelaki terbabit menyerang dua lelaki menggunakan kerusi dan meja di dalam kedai.
Menurutnya, kumpulan itu turut mencampakkan pinggan dan cawan milik pelanggan lain sehingga menyebabkan keadaan di dalam premis menjadi huru-hara.
“Pelanggan lain yang sedang makan berasa takut dan terus meninggalkan kedai.
“Pekerja saya juga cuba meleraikan pergaduhan sebelum meminta kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu belakang bagi mengelakkan mereka terus dipukul,” katanya
Katanya, kejadian itu menyebabkan beberapa peralatan dan harta benda miliknya rosak dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM5,000.
Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan pengesahan polis berhubung kejadian dan status siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

