
BAITULMAQDIS: Tentera pengganas rejim Zionis Israel mendakwa bahawa komander terbaharu yang bertanggungjawab sebagai penaja dalam membiayai kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan telah dibunuh di Syria.
Komander yang namanya tidak didedahkan itu dikatakan mengetuai Unit 4400 Hizbullah, dan didakwa bertanggungjawab dalam pemindahan dana kepada kumpulan pejuang itu melalui penjualan minyak oleh Iran, lapor Reuters.
Tentera pengganas rejim dilaporkan turut menyerang sekurang-kurangnya 15 cawangan Al-Qard Al-Hasan milik Hizbullah, sebuah pertubuhan dan institusi kewangan yang dituduh membiayai aktiviti ketenteraan kumpulan pejuang itu.
Serangan itu menyasarkan cawangan Al-Qard Al-Hasan Beirut, selatan Lubnan dan Lembah Bekaa, selain turut meratakan bangunan sembilan tingkat di ibu negara.
Al-Qard Al-Hasan adalah antara kumpulan yang mengalami sekatan oleh Amerika Syarikat dan Arab Saudi, ia turut berfungsi sebagai sistem perbankan alternatif untuk orang awam di Lubnan, terutamanya sejak krisis kewangan negara itu yang bermula pada 2019.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, unit itu sebelum ini diketuai oleh Mohammed Jafar Ksir, yang juga dikenali sebagai Sheikh Salah.
“Dia menguruskan sumber pendapatan utama pertubuhan itu selama bertahun-tahun sehingga kami menyingkirkannya dalam serangan yang disasarkan di ibu negara (Beirut) pada awal Oktober,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 22/10/2024








