Usah jadi pendera pasif

Usah jadi pendera pasif

razis@mediaprima.com.my’

Di media sosial, kita dapat melihat ramai yang berkongsi gambar dan video haiwan eksotik kecil dipelihara dalam sangkar kecil dan diperlakukan seperti objek atau bahan ketawa.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Haiwan Bukan Permainan, Aisyah Mardhiah Azura berkata, ada yang sanggup melepaskan haiwan peliharaan sama ada di taman atau hutan dengan andaian ia lebih bahagia hidup ‘bebas.’

Katanya, dengan hanya memberi makan dan minum tidak bermakna anda sudah menjalankan tanggungjawab sebagai tuan.

“Banyak yang kita dengar orang cerita hanya sempat memelihara hamster selama dua minggu sebelum ia mati tanpa rasa bersalah. Sedangkan jangka hayat hamster boleh hidup selama dua tahun.

“Ramai yang tidak menyedari menjadi pendera pasif dengan memelihara haiwan tanpa kesedaran dan ilmu sehingga melakukan penganiayaan terhadap haiwan kecil ini.

“Sebagai contoh, ada segelintir peminat haiwan yang kurang ilmu meletakkan beberapa syrian hamster dalam satu sangkar dengan membuat andaian bahawa ia perlukan kawan sedangkan spesies ini adalah haiwan yang suka bersendirian,” katanya.

Menurutnya, saiz minimum sangkar untuk seekor hamster adalah 80 x 50 x 50 sentimeter mengikut piawai saintifik.

“Bagaimanapun, ramai yang menggunakan sangkar sebesar tapak kaki. ‘Bedding’ pula tidak tebal dan akibatnya hamster tidak dapat melakukan aktiviti fitrah semula jadinya iaitu menggali.

“Sebab itu anda melihat hamster yang stres menggigit gerigi sangkar. Ada yang lebih teruk, hamster dimandikan dengan air sedangkan pemilik perlu menggunakan pasir khas untuk haiwan itu iaitu ‘desert sand’,” katanya.

Beliau menasihatkan pemilik haiwan perlu melengkapkan diri dengan maklumat dari segala aspek haiwan kecil ini dan berfikir panjang sebelum membuat keputusan memeliharanya di rumah.

“Setiap makhluk yang bernyawa berhak dihormati keperluan dan kemahuannya. Haiwan kecil eksotik tidak menunjukkan perasaan dengan jelas dan tidak mudah dijinakkan.

“Anda yang boleh berfikir perlu mendidik diri mengenai keperluan, kemahuan dan kelakuan spesies haiwan yang dibela,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top