am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Semua lelaki yang sudah berkahwin kena jaga nafkah yang perlu kita bagi (kepada isteri). Itu adalah wajib,” kata pendakwah selebriti dan usahawan, Haris Ismail, 29, ketika diminta mengulas video tular isterinya, Neelofa, 35, yang mendedahkan tidak pernah membayar semua bil dan perbelanjaan sejak berkahwin.
Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz berkata, tugas membayar bil dan perbelanjaan rumah adalah tanggungjawab suami dalam rumah tangga.
“Perkara itu adalah sebahagian daripada tuntutan nafkah yang wajib diberikan kepada isteri.
“Secara mudahnya, itu (bayar bil dan perbelanjaan rumah) adalah tanggungjawab semua lelaki dan suami, bukannya saya seorang sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi baju jenama Kita & Co by Mimpi Kita yang berlangsung di sini, kelmarin.
Tambah Haris, tiada apa yang perlu dibanggakan kerana tugas itu sememangnya tanggungjawab suami.
“Sama seperti solat. Mungkin akan ada isteri yang berkata suaminya solat lima waktu.
” Bagi saya, perkara itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan kerana semua umat Islam wajib solat,”katanya.
Terdahulu, tular video podcast memaparkan pelakon dan usahawan, Neelofa mendedahkan dia tidak pernah membayar segala bil air, elektrik, sewa serta barang keperluan rumah sejak berkahwin dengan Haris.
Untuk rekod Haris mendirikan rumah tangga dengan Neelofa pada 26 Mac 2021 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas, 1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




