Rusia umum mahu tahan pengasas Telegram

Rusia umum mahu tahan pengasas Telegram

Moscow: Rusia pada Rabu mengumumkan ia berusaha untuk menahan pengasas Telegram, Pavel Durov, atas tuduhan ‘bersubahat dalam keganasan’ kerana didakwa membenarkan platform itu digunakan bagi tujuan perekrutan oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) berkata, prosiding pencarian antarabangsa sudah dilancarkan terhadap Durov yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram.

“Notis orang dikehendaki antarabangsa sudah dikeluarkan terhadap ketua pentadbiran Telegram, P Durov,” menurut kenyataan FSB.

Bagaimanapun, tidak jelas jenis notis orang dikehendaki yang dikeluarkan Rusia, dan sama ada negara lain atau agensi penguat kuasa akan menerima atau mematuhinya.

Bagaimanapun, Telegram memaklumkan, Durov, 41, tidak mahu mengulas perkara itu pada peringkat ini, manakala peguamnya turut enggan mengulas.

Dalam pada itu, FSB mendakwa, Telegram digunakan sebagai platform perekrutan untuk perkhidmatan keselamatan Ukraine dan gagal menghapuskan ‘bot’ janji temu popular dikenali sebagai Leo Match Bot yang diharamkan di Rusia.

Menurut FSB, ‘bot’ itu digunakan oleh ejen perkhidmatan khas Ukraine yang menyamar sebagai wanita muda untuk menarik golongan muda Rusia menyertai aktiviti keganasan dan sabotaj.

“Seramai 46 rakyat Rusia berusia antara 12 hingga 22 tahun yang menggunakan Leo Match Bot ditahan sejak Julai 2025 kerana menyerang pegawai penguat kuasa dan melakukan sabotaj terhadap infrastruktur tenaga serta pengangkutan,” katanya.

Rusia dan Ukraine saling menuduh menggunakan media sosial bagi merekrut individu untuk menyokong mereka dalam perang yang sudah berlarutan selama empat tahun setengah.

Durov yang dilahirkan di Saint Petersburg mengasaskan VKontakte sebelum meninggalkan syarikat itu pada pertengahan 2010-an, dan kemudian menubuhkan Telegram yang menjadi antara platform komunikasi paling banyak digunakan di Rusia.

Tahun ini, rangkaian sosial VK yang kini dikawal kerajaan giat mempromosi aplikasi pemesejan Max yang disokong kerajaan bagi menggalakkan rakyat Rusia beralih daripada Telegram dan WhatsApp.

Durov mengkritik Max sebagai aplikasi yang dikawal kerajaan dan dibina untuk tujuan pengawasan serta penapisan politik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top