am@hmetro.com.my
Putrajaya: Polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap lebih 30 ahli GISB Holdings (GISBH) mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang belum dituduh di mahkamah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini 22 individu sudah didakwa di mahkamah termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH.
“Apa saya boleh cakap, kita tahan Sosma lebih kurang 60 orang. Selepas itu kita berurusan dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan (dengan) keterangan yang ada kita dapat menuduh 22 orang.
“Baki (yang ditahan bawah Sosma), yang mana belum habis lagi (siasatan), kita buat siasatan lanjut, (tempoh tahanan) Sosma kita panjang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Perhimpunan Bulanan KDN kali ini disempurnakan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Awang Alik Jeman.
Ditanya sama ada baki ahli GISBH yang ditahan di bawah Sosma akan didakwa di mahkamah, Razarudin tidak menolak kemungkinan itu.
“Ada kemungkinan (mereka juga akan didakwa).. ramai juga masih dikesan,” katanya.
Hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 yang lain, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Turut didakwa ialah isteri Nasiruddin iaitu Datin Azura Md Yusof Hasnan, 57; dan anak bekas pengasas Al Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 32.
Individu lain yang didakwa ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 53; Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md Jasin, 57; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34; Mokhtar Tajuddin, 60; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28; Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34; Shuhaimi Mohamed, 56; Hasnan Abd Hamid, 53; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 51.
Turut dituduh ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nur Jannah Omar, 32; Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 44; Nurul Jannah Idris, 28; Siti Salmiah Ismail, 57; Siti Hajar Ismail, 51; dan Mahani Kasim, 54.
© New Straits Times Press (M) Bhd




