nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyifatkan aktiviti penyeludupan lembu dan kambing dari negara jiran terlalu banyak sehingga menjejaskan perniagaan penternak di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain menjejaskan penternak, kemasukan lembu dan kambing tanpa pemeriksaan itu dijangka turut membawa pelbagai penyakit.
“Saya menerima banyak aduan daripada pihak penternak di mana kambing dan lembu seludup dibawa masuk dari negara jiran terlalu banyak.
“Apabila bekalan dari sana (Thailand), mereka hanya menjual sekitar RM280 hingga RM300 bagi seekor kambing, berbanding penternak kita paling murah pun menjual dengan harga RM500.
“Disebabkan itu ramai penternak berputus ada kerana perniagaan mereka tidak mendapat sambutan dan berdepan kerugian kerana yang diseludup dijual dengan harga jauh lebih murah.
“Kita akui perkara ini sudah lama berlaku memandangkan sempadan negara hanya sempit dan apabila musim kemarau, air kering sehingga boleh berjalan kaki,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Mock-Cek Tabung Bencana Tanaman Padi Serta Penyampaian Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa 1, 2024, di sini, hari ini.
Justeru, Mohamad meminta pihak yang berperanan menjaga sempadan supaya meningkatkan kawalan bagi mengekang aktiviti penyeludupan lembu dan kambing.
“Kekangan aktiviti penyeludupan itu bukan hanya mampu membantu penternak sebaliknya mengawal kemasukan penyakit yang dibawa binatang terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




