Sebelum ini, kita sering mendengar rintihan kononnya suara anak-anak muda atau belia hanya kedengaran di meja mesyuarat dan tidak ke mana.
Namun ramai yang tidak mengetahui ada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang gigih mengubah persepsi itu dengan pelbagai inisiatif untuk melonjak potensi belia.
Wartawan HADZLAN HASSAN, mendapatkan pemimpin belia 4B ke-7 negara, DATUK RIDHWAN MOHD ALI yang juga pengerusi Yayasan Belia Sedunia (World Youth Foundation (WYF) Malaysia untuk mengupas isu berkenaan.
Apa sebenarnya peranan WYF dan fungsinya?
Jika bercakap mengenai Belia 4B, rasanya semua orang sedia maklum, tetapi saya percaya tidak begitu ramai mengetahui mengenai Yayasan Belia Sedunia atau World Youth Foundation (WYF).
WYF ini diasaskan oleh Tuan Yang Terutama Tun Mohd Ali Rustam sejak 30 tahun lalu dan menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan belia sejak dulu hingga kini. Sejak itu pelbagai aktiviti dijalankan di peringkat global dalam dan luar negara.
Yayasan ini beribu pejabat di Melaka, jadi ia serba sedikit memudahkan gerak kerja untuk saya dan pemimpin terdahulu merangka program.
Namun kali ini kami sedang merangka program secara lebih kerap sama ada dalam atau luar dari Melaka.
Apa fokus program yang sering dilaksanakan di negara kita?
Seperti saya katakan tadi, WYF Malaysia, adalah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pembangunan, pemerkasaan dan pembabitan belia.
Kami komited untuk menangani pelbagai isu global yang mempengaruhi golongan muda, termasuk pendidikan, kesihatan, hak asasi manusia, dan pembangunan mampan.
Ia termasuk aktif menjalankan program, bengkel dan inisiatif untuk memperkasakan individu muda, menggalakkan mereka untuk menjadi peserta aktif dalam pembangunan sosial dan komuniti.
Kami di yayasan ini sering bekerjasama dengan kerajaan, NGO dan pihak berkepentingan lain untuk mewujudkan impak positif terhadap isu-isu berkaitan belia, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa kerana WYF adalah NGO berstatus Perunding Khas dengan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimana datuk mahu melihat belia Malaysia menyerlah di mata dunia?
Barisan Kepimpinan Belia 4B serta WYF sentiasa menjalankan pelbagai program dalam mengasah bakat dan menyerlah kemampuan belia tempatan.
Walaupun masih baru dalam 4B, saya melihat belia negara berada dalam landasan betul untuk menonjol diri dan lebih berketrampilan.
Malah untuk menonjolkan belia kita yang lebih berketrampilan, tahun ini, WYF akan mengadakan Forum Belia Dunia Antarabangsa di Kuala Lumpur tidak lama lagi
Ini adalah kali pertama program dirancang dibuat luar Melaka dan setakat ini, sambutannya sangat menggalak apabila lebih 250 peserta bakal mengambil bahagian membabitkan belia lebih dari 10 negara.
Forum ini memberi peluang kepada belia di semua peringkat untuk meluahkan pandangan serta suara mereka termasuklah mereka dalam kalangan B40 atau asnaf.
Setakat ini apakah pencapaian belia negara setanding negara luar dan boleh dibanggakan?
Bagi saya, walaupun baru menerajui kepimpinan belia, saya melihat ramai anak-anak muda kita mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri, namun mereka tidak dapat dibimbing.
Sebenarnya mereka ini tidak tahu platform mana untuk menyerlahkan kreativiti mereka dan alhamdulillah WYF nyata berjaya menampilkan kemampuan sebenar beliau kita di pentas antarabangsa dan mereka nyata sangat berbakat.
Ia selaras inisiatif dengan misi pertubuhan itu untuk mempromosikan kepimpinan belia, pengayaan budaya dan pembabitan komuniti, menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang dinamik dan inklusif.
Orang sering menilai program belia sebagai ‘syok sendiri’, WYF pula bagaimana?
Seperti saya nyatakan tadi bermula 2024, WYF akan mengadakan program secara lebih kerap, mungkin sebulan sekali.
Sebelum ini pelbagai program diadakan seperti keseorangan tapi tidak, bersendirian, program Kepimpinan Anak Melaka serta Forum Belia Kebangsaan.
Melalui program seperti itu kita membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka berkongsi dan meluahkan pandangan untuk didengari semua pihak di pentas lebih besar dan di sinilah ketrampilan mereka sudah dilihat.
© New Straits Times Press (M) Bhd