Libat sektor swasta dalam transformasi sumber air negara

Libat sektor swasta dalam transformasi sumber air negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited meneruskan langkah proaktif dalam transformasi pengurusan sumber air negara melalui kerjasama strategik dengan sektor swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penglibatan sektor swasta dijangka meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan air serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi pengurusan air.

Menurut beliau, kajian mendalam mengenai agenda transformasi air telah dilaksanakan oleh Akademi Sains Malaysia untuk memastikan kemampanan sumber air serta mengoptimumkan penggunaan air sebagai sumber ekonomi negara.

“Kami merancang untuk membangunkan pusat data dan inovasi berkaitan air yang dapat memanfaatkan air terawat untuk pelbagai keperluan industri.

“Penglibatan sektor swasta adalah kunci untuk mencapai matlamat kami. Dengan kerjasama ini, kami berhasrat untuk menarik pelaburan yang diperlukan bagi pelaksanaan projek-projek berkaitan air yang mampan dan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Transformasi AIR 2040 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, kajian sejak Mei 2020 telah mengenal pasti 106 projek yang boleh dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Kata beliau, projek-projek ini merangkumi pelbagai inisiatif termasuk pengurangan kerugian air yang mencecah RM2 bilion setiap tahun.

“Kerjasama dengan syarikat swasta diharapkan dapat menghasilkan penyelesaian berkesan dalam mengurangkan kehilangan air sehingga 35 peratus dalam tempoh terdekat.

“Dalam usaha ini, lapan subsektor melalui Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) akan diteliti termasuk penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan untuk mempromosikan kesedaran awam mengenai kualiti sumber air,” katanya.

Selain itu, Fadillah berkata, usaha ini bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada air bersih dan selamat.

Katanya, kerajaan juga merangka pelan jangka panjang dengan cadangan strategi dan inisiatif yang meliputi Rancangan Malaysia Ke-12 hingga Ke-15.

“Fasa pertama yang bermula dari 2021 hingga 2025 akan menekankan penerimaan penggunaan sumber air, diikuti dengan pembangunan teknologi tempatan dan mencapai skala ekonomi optimum dalam fasa-fasa berikutnya,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia bertekad untuk menjadikan air sebagai salah satu sumber utama ekonomi negara dan memastikan bekalan air berkualiti untuk seluruh rakyat.

“Kerjasama dengan sektor swasta diharapkan dapat mencipta peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebagai hub industri air serantau,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top