Nash selamat jalani pembedahan jantung

Nash selamat jalani pembedahan jantung

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi popular, Datuk Nash, 67, selamat menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital pada petang tadi.

Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Music Malaysia yang juga Presiden IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid kepada Harian Metro.

“Assalamualaikum… mohon doa semua untuk Datuk Nash agar segera sembuh selepas pembedahan jantung petang ini. Semoga dipermudahkan dan diberi kesihatan yang baik,” katanya.

Ayob berkata, dia dihubungi oleh anak penyanyi terbabit, Shameer menyampaikan berita mengejut ini.

“Shameer beritahu ayahnya kena serangan jantung semasa berada di rumah dan segera dikejarkan ke hospital.

“Doktor mendapati 80 peratus jantungnya tersumbat dan segera buat pembedahan. Mereka masukkan satu stent untuk membuka arteri koronari yang tersumbat.

“Alhamdulillah keadaannya stabil dan kini perlu berehat,” katanya.

Terdahulu penyanyi lagu Pada Syurga Diwajahmu ini pernah mengalami kemalangan jalan raya pada tarikh yang sama iaitu 20 April 2021 di Kilometer 250.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, pada jam 4 petang.

Beliau mengalami luka pada muka dan sakit dada selepas kenderaan dinaikinya bersama pemandu kenderaan itu terbabit kemalangan sewaktu dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.

Kereta Toyota Harrier yang dinaiki telah melanggar lopak air menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

Penyanyi itu dibawa oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban bagi menerima rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top