'Sebaik masuk, ada bau busuk dan rumah sangat kotor' – Pemilik rumah

'Sebaik masuk, ada bau busuk dan rumah sangat kotor' – Pemilik rumah

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: “Beberapa kali saya cuba hubungi penyewa tetapi gagal menyebabkan saya pergi ke rumah itu untuk memeriksa dan sebaik masuk ada bau busuk dengan rumah juga kotor sebelum menemui bagasi itu,” kata pemilik rumah di Taman Impian Indah, di sini.

Dia menceritakan semula kejadian penemuan mayat wanita dipercayai warga Nepal yang ditemui maut di dalam bagasi di tingkat tiga kediaman terbabit.

Dia yang enggan dikenali berkata, walaupun mayat itu masih belum dikenal pasti lagi tetapi dia percaya itu adalah penyewa wanita warga Nepal yang berpindah ke unit flatnya itu kira-kira tiga bulan lalu.

Menurutnya, wanita itu dipercayai tinggal di situ bersama seorang lelaki dan mereka tidak membayar sewa tepat pada waktunya.

“Selepas gagal menghubungi mereka beberapa kali, saya pergi memeriksa petang semalam.

“Rumah itu kotor, dengan kesan kumbahan dan bau busuk di lantai. Terdapat sebuah kotak kadbod besar di sudut ruang tamu, dipenuhi dengan pakaian dan fabrik dan kumbahan bocor dari kotak itu.” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, apabila menghampiri kotak itu, dia menemui sebuah bagasi di dalamnya dan cuba menariknya keluar untuk melihat apa yang ada di dalamnya, tetapi sangat berat.

“Saya lihat bagasi itu dalam keadaan kembung dan sukar untuk membuka zip.

“Saya takut dan segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian penemuan satu mayat tanpa pengenalan diri di sebuah rumah di Taman Impian Indah pada 8.37 malam tadi.

“Susulan laporan polis itu, sepasukan polis bersama Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu mayat wanita dijumpai di dalam bagasi di ruang tamu sebuah rumah dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati, atau penjara untuk tempoh tidak kurang daripada 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun atau sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Nur Ayuni bAziz di talian 016-2080717 atau talian NG MERS 999 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top