puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Vanidah Imran berpandangan penggiat seni perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal jika mempunyai keinginan untuk memasuki bidang teater.
Vanidah, 53, berkata ini kerana dunia teater menuntut disiplin dan komitmen yang tinggi.
“Sesiapa sahaja boleh berlakon teater, tetapi mereka perlu bersedia untuk belajar dan mengikuti bengkel yang berkaitan. Paling penting, seseorang itu perlu melalui keseluruhan proses latihan yang ditetapkan.
“Sebab latihan teater ini lazimnya berlangsung sekurang-kurangnya tiga minggu hingga sebulan. Jadi, pelakon perlu mempunyai disiplin dan memberi komitmen penuh,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Pelakon filem Magika ini turut berpendapat, niat utama pembabitan dalam teater sepatutnya didorong oleh rasa dahaga ilmu, bukan sekadar terpukau dengan kehebatan sesebuah naskhah mahupun watak.
“Apabila pelakon itu memilih untuk terlibat dalam teater, maksudnya dia bersedia untuk mempertingkatkan kualiti lakonannya. Sebab itu, komitmen terhadap proses latihan sangat penting.
“Jangan menerima tawaran teater hanya kerana naskhahnya hebat atau watak yang diberikan menarik atau terima tawaran sebab menganggap pembabitan dalam teater mampu meletakkan diri pada kedudukan tertentu dalam industri.
“Tidak masuk lagi sekiranya jadual awak penuh dengan penggambaran dan ada hari yang terpaksa tinggalkan latihan,” katanya.
Katanya, sikap acuh tak acuh dan kegagalan memberi komitmen terhadap latihan bukan sahaja merugikan diri sendiri, malah menyusahkan pelakon lain yang terbabit dalam babak sama.
“Pada masa sama, pelakon lain yang mempunyai babak bersama kita juga tidak dapat menjalani latihan dengan sempurna.
“Bagi saya, perkara ini berkait dengan sikap menghormati rakan sepasukan. Disiplin diri adalah aspek yang paling penting,” kongsinya.
Dalam pada itu, Vanidah turut mengingatkan semua penggiat seni agar bijak menguruskan masa dan memahami tanggungjawab mereka, terutama jika terpaksa mengimbangi dua komitmen kerja yang datang secara serentak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




