'Ilman Hazim ke China Jumaat ini untuk pembedahan hati

'Ilman Hazim ke China Jumaat ini untuk pembedahan hati

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pesakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, ‘Ilman Hazim Awang Syazuan Shafiq akan menaiki penerbangan ke China bersama ibu bapanya bagi menjalani pembedahan pemindahan hati pada Jumaat ini.

Ibunya, Nurul Aqilah Mahmud, 28, berkata, dia bakal menjadi penderma hati kepada anak bongsu daripada tiga beradik itu dan mereka akan menjalani pembedahan di Hospital Renji.

Bagaimanapun katanya, mereka masih belum mendapat tarikh pembedahan dan perlu menunggu sehingga tiba ke hospital terbabit untuk makluman lanjut.

“Kami akan ke China bersama suami (Awang Syazuan Shafiq Awang Jaya, 33) dengan turut diiringi seorang wakil daripada Persatuan Biliary Atresia SeMalaysia (BAMA).

“Sebanyak 20 peratus hati saya akan didermakan kepada anak tetapi kami perlu menjalani pemeriksaan dan ‘workout’ semula sebelum menjalani pembedahan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, bayinya berusia lapan bulan itu yang sebelum ini menjalani prosedur untuk menambah berat badan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini sejak bulan lalu juga sudah dibenarkan keluar hospital esok.

“Alhamdulillah, kami berdua sihat dan ‘fit to fly’ (sesuai untuk menaiki penerbangan ke China) serta bersyukur anak dapat menjalani pembedahan, malah kami sekeluarga sangat berterima kasih dengan bantuan daripada semua pihak.

“Harapan saya sama seperti ibu bapa lain, saya mahu Ilman sihat selepas ini dan tiada sebarang komplikasi. Saya mahu dia membesar dengan sihat sihat, kuat dan jadi anak soleh.

“Ilman akan menerima hati baru, moga hati saya yang akam diambil nanti adalah hati yang paling sihat, kuat dan terbaik untuk anak kesayangan kami,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan ‘Ilman Hazim turut mengalami masalah ‘Portal Hypertension’ dan dikategorikan sebagai kes pendarahan yang jarang berlaku (tiada punca pendarahan) serta prosedur pemindahan hati perlu dilakukan segera sebelum keadaan kesihatannya merosot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top