am@hmetro.com.my
Nilai: Kerosakan brek menjadi punca lori membawa muatan batu merempuh tiga kenderaan dalam kejadian sebaik selesai solat Jumaat di laluan Nilai- Salak Tinggi, dekat Masjid Kariah Kampung Bukit Kadir, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, lori jenis tipper berkenaan mengalami kerosakan brek sebelum merempuh tiga kenderaan di laluan bertentangan.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika lori dari arah Labu itu hendak menghala ke Salak Tinggi.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, brek lori itu tidak berfungsi lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tiga kenderaan jenis Proton S70, Honda CRV dan Perodua Kenari.
“Perodua Kenari berkenaan berpusing lalu melanggar kenderaan pacuan empat roda yang berada di bahu jalan. Pemandu dan penumpang Perodua Kenari itu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kepala,” katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 44(1) (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
