PM gesa semua kerajaan negeri cantikkan warung, gerai makan

PM gesa semua kerajaan negeri cantikkan warung, gerai makan

am@hmetro.com.my

Butterworth: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri memberi perhatian dengan menaiktaraf infrastruktur termasuk mencantikkan warung dan gerai makanan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

Anwar berkata, ia susulan kira-kira 80 peratus rakyat di negara ini didapati memilih untuk makan di premis berkenaan memandangkan harga lebih berpatutan.

Katanya, perkara itu dikesan apabila beliau sendiri turun ke warung dan gerai makanan sebelum menunaikan solat Jumaat termasuk ketika mengadakan lawatan kerja di negeri-negeri Semenanjung.

“Lihat (dari) pengalaman saya setiap hari Jumaat (sebelum solat) saya akan pergi ke gerai atau warung atau restoran kecil untuk makan dulu.

“Saya dapati lebih banyak rakyat makan dekat situ, ketimbang (berbanding) restoran besar.

“Restoran lima bintang itu ada tapi bagi siapa ada duit (kemampuan) boleh pergi ke sana, tetapi (warung dan gerai) kena beri perhatian sebab ada saja complaint (aduan) yang saya dapat dari peniaga beritahu bumbung bocor, lantai tak bagus dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Anwar mengumumkan peruntukan khas RM250,000 bagi penganjuran program berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sebelum itu meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menitikberatkan kebersihan serta mengambil langkah mencantikkan warung dan gerai berbanding membina bangunan mercu tanda yang hebat.

“Dan ini saya juga cadangkan kepada semua kerajaan negeri. Bila bercakap pasal kota mesti kena ada gedung besar, hotel dan itu biarlah swasta buat.

“Kerajaan kena tumpu gedung-gedung kecil seperti warung dan gerai. Tak malukah kita bila pergi ke situ warung macam nak roboh, lampu tidak menyala, tandas kotor dan busuk,” katanya.

Tegasnya, langkah membaik pulih infrastruktur itu penting bukan saja demi keselesaan kepada pengunjung tetapi membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan.

“Jadi, gesaan saya semua yang di atas perlu turun ke bawah dan bantu dengan lihat apa keperluan diperlukan,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di bawah pihak berkuasa tempatan seluruh negara.

Peruntukan itu termasuk untuk menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak, serta menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top