am@hmetro.com.my
Tumpat: Remaja lelaki ditahan bersama sejumlah unggas termasuk burung helang merah, burung hantu dan musang pandan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bunohan pada Ahad.
Serbuan dibuat Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) bersama pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan itu beberapa spesis unggas dan musang yang dilindungi di bawah undang-undang ditemui.
“Pihak kami merampas seekor burung helang merah; burung ruak-ruak (4); burung hantu carik kafan (1) dan musang pandan (2) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM48,000.
“Remaja lelaki itu gagal mengemukakan sebarang lesen serta permit yang sah atas aktiviti penyimpanan unggas dan burung terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad Radzi berkata, remaja itu memberitahu bahawa haiwan itu milik bapanya yang kini bekerja di Gua Musang dan dia bertanggungjawab menjaga, merawat dan memberi makan semua haiwan itu sejak empat tahun lalu.
“Rampasan diserahkan kepada Perhilitan untuk siasatan mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




