syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Tony Eusoff tidak menolak sekiranya isu penceraian dalam kalangan rakan-rakan selebriti di Malaysia sedikit sebanyak menimbulkan rasa trauma untuk berumah tangga.
Tony, 47, berkata, pernah terlintas di fikirannya, adakah penceraian yang berlaku secara berturut-turut sejak kebelakangan ini menjadi umpama satu ‘trend’.
“Betul (trauma). Ya. Kawan-kawan kita ada yang bercerai di sana sini. Macam adakah itu satu ‘trend’? Jadi saya fikir, okaylah. Nasib baiklah saya belum berkahwin lagi,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai jodoh, Tony juga kini enggan mengejar cinta kerana baginya, sekiranya cinta terlalu dikejar, ia mungkin akan pergi lebih jauh.
“Buat masa sekarang, tidak. Benda ini aturan Tuhan. Kalau dia datang, datanglah. Kadangkala, benda berkaitan jodoh ini kalau kita tak cari sangat, ia akan datang sendiri.
“Kalau kita terlalu mengejar, kita takkan dapat sebab dia ‘lari’ lebih laju. Ya, pernah ada pengalaman. Awak ingat saya tak pernah kecewa? Ramai saja yang saya pernah kejar tapi tak dapat,” katanya.
Kali terakhir Tony mengejar cinta adalah lebih kurang 10 tahun lalu. Namun, cintanya ditolak secara baik dan dia kini masih bersahabat dengan wanita itu.
“Banyak kali. Akhir sekali yang saya kejar, dalam 10 tahun lalu. Saya memang minat kepada dia (bekas kekasih). Dia pun ‘single’. Dia sangat baik dan tolak pun secara baik. Dia ada sebab tersendiri. Sekurang-kurangnya dia berterus terang dengan saya.
“Saya pun dah luahkan perasaan dan terus terang, tak boleh atas sebab tertentu. Kemudian, sampai sekarang kami jadi sahabat baik dan dia pun dah berkahwin.
“Selepas itu dah tak ada kejar. Tapi, selepas itu saya ada kekasih selama sembilan tahun, tapi dah berpisah. Kami putus pun secara baik.
“Kami pun dah tua, takkan nak gaduh-gaduh kan. Kami pun bukan budak sekolah. Kami pun masih lagi bersahabat di mana saya masih lagi berkawan dengan keluarga dia. Ya lah, sembilan tahun kan.
“Saya melihat anak dia membesar dari usia 18 tahun hingga 27 tahun. Jadi, saya rapat dengan keluarganya. Benda yang baik ini, kalau boleh kita jangan buanglah,” katanya.
Terbaharu, Tony sudah selesai menjalani penggambaran filem Martabat: Misi Berdarah yang menjadi filem parodi daripada beberapa filem peperangan tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




