najiy.jefri@hmetro.com.my
HARISSA Adlynn, bintang yang semakin menyerlah dalam dunia hiburan serta membina kerjayanya berasaskan bakat, kerja keras dan disiplin.
Di kala dunia hiburan diwarnai dengan kontroversi, Harissa kekal teguh sebagai pelakon yang tidak terpalit dengan isu-isu sensasi.
Bersyukur apabila namanya tidak terpalit dengan sebarang kontroversi panas, Harissa berkata, dia sebolehnya cuba menjaga imej bersih untuk kelangsungan yang panjang dalam dunia seni.
“Alhamdulillah saya tidak pernah terpalit sebarang kontroversi setakat ini. Cuma, saya selalu dapat pesanan dan peringatan daripada ibu setiap hari untuk menjaga diri.
“Setiap kali saya keluar bekerja saya juga selalu ingatkan diri supaya menjaga tingkah laku dan memiliki adab yang tinggi.
“Kemudian saya selalu pesan supaya jaga batas pergaulan dan lihat dengan siapa kita bergaul,” katanya.
Tidak mampu memberi sebarang jaminan namanya akan kekal bersih atau tidak terpalit kontroversi, Harissa berkata, sekiranya perkara itu terjadi satu hari nanti dia berharap apa yang dilakukan itu tidak disengajakan.
“Andai kata ada perkara mengenai saya yang tersebar atau sesuatu berlaku, ia bukanlah disengajakan. Saya hadir dalam industri ini dengan niat baik iaitu untuk bekerja dan mencari rezeki bagi diri sendiri dan keluarga.
“Saya akan sentiasa ingatkan diri untuk melakukan yang terbaik dan sentiasa berbuat baik. Bagi saya, terdapat dua jenis kontroversi. Pertama, kontroversi yang dicipta oleh artis untuk kekal relevan dalam industri.
“Kedua adalah kontroversi yang tidak disengajakan, contohnya apabila seorang artis melakukan kesilapan yang ingin disembunyikan, tetapi akhirnya diketahui umum dan tersebar tanpa kawalan.
“Saya sangat berharap dan berdoa agar tidak terbabit dalam mana-mana jenis kontroversi sama ada yang disengajakan mahupun tidak,” katanya.
Menyentuh mengenai drama Calar Cinta yang sedang hangat ditayangkan di TV3, Harissa meluahkan rasa teruja apabila watak Adrea yang dilakonkan berjaya menyentuh hati penonton.
Ramai peminat mengakui watak Adrea benar-benar berkesan di hati mereka, dan memuji kemampuannya sebagai seorang pelakon.
“Sejujurnya, masa terima komen-komen daripada penonton mengenai watak Adrea saya terkejut, tapi bersyukur dan berterima kasih kepada semua.
“Watak Adrea ini pertama kali saya bawa watak yang sebegini, dan bila watak ini memberi kesan kepada orang, saya rasa macam ‘wow, kerana berjaya melakukannya. Pada mulanya, saya tak meletakkan harapan tinggi, kerana saya gementar nak bawakan watak ini.
“Namun apabila saya nampak bagaimana watak ini memberi impak kepada orang, saya anggap ini sebagai tanda untuk saya terus buat yang terbaik dan mencabar diri sendiri,” katanya yang membawakan watak yang penuh emosi dan air mata.
Tambahnya, watak Adrea bukan sekadar lakonan biasa sebaliknya watak dijayakan turut mewakili suara dan pengalaman yang dirasai oleh ramai orang dalam kehidupan sebenar.
“Watak ini agak berat kerana ada persamaan dengan segelintir orang dalam masyarakat kita. Jadi, ia adalah mesej yang saya ingin sampaikan kepada penonton, dan apabila mesej itu sampai, saya rasa sangat bersyukur dan gembira,” katanya.
Sebagai pelakon, Harissa mengaku setiap kali menerima sesuatu karakter, dia akan sepenuhnya menyelami watak itu sehingga ia benar-benar menyatu dengan dirinya.
“Untuk menjayakan watak Adrea sebenarnya sangat susah sebab saya jenis pelakon yang bermain dengan jiwa dan perasaan. Apabila saya menerima sesebuah karakter itu, saya akan jadi orang itu. Jadi, ia mempengaruhi saya.
“Watak yang dibawakan ini sangat berbeza dengan kehidupan sebenar saya. Jadi, saya perlu menjadi seseorang yang bukan saya selama sekitar sebulan setengah,” katanya.
Bagi Harissa, proses menyelami watak itu menuntut pengorbanan besar, bukan sahaja mengubah diri dan cara berkomunikasi, tetapi turut menambah lapisan baru dalam pengalaman lakonannya.
Malah proses membawa watak Adrea dalam Calar Cinta bukanlah sesuatu yang ringan, namun ia menjadi pengalaman yang sangat berharga bagi Harissa.
Dengan sokongan keluarga, rakan-rakan pelakon, dan kru, Harissa berjaya melalui cabaran itu.
Kejayaan yang dikecapi bukan sahaja membuktikan kebolehannya sebagai pelakon, tetapi juga menunjukkan dedikasi dan keikhlasannya dalam menyampaikan watak yang mampu menyentuh hati ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




