Rancang tambah cawangan baharu

Rancang tambah cawangan baharu

kartika@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Nuh Travel and Tours (Nuh Travel) optimis untuk mencapai sasaran pendapatan RM50 juta pada tahun depan disokong dengan tawaran pelbagai pakej pelancongan ke negara popular dan umrah ziarah pada harga paling kompetitif di pasaran.

Ketua Pegawai Operasinya Mohammad Adam Jalalel Din berkata, jumlah pendapatan itu meningkat sekali ganda berbanding sasaran yang syarikat tetapkan pada tahun ini iaitu RM25 juta.

Katanya, Nuh Travel juga merancang membuka cawangan baharu di luar Lembah Klang sebagai memenuhi permintaan pelanggan.

“Nuh Travel ditubuhkan pada 2019 dengan cawangan pertama di Damansara Perdana dan syarikat dalam proses membuka cawangan di Johor Bahru, bulan ini, dan seterusnya kami menyasarkan untuk meluaskan rangkaian di Kelantan dan Pulau Pinang.

“Bagi tempoh tiga ke lima tahun lagi, kami menjangkakan cawangan Nuh Travel akan berada di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin mencapai pertumbuhan pendapatan positif menjelang 2025 dengan sasaran memperoleh seramai 6,000 pelanggan pakej pelancongan dan 1,000 jemaah umrah.

Menurutnya, Nuh Travel kini memperkenalkan pakej terbaharu bagi umrah ziarah Dubai, Turkiye, Milan dan Switzerland.

“Setakat ini, syarikat menawarkan 60 pakej pelancongan ke destinasi pilihan di seluruh dunia.

“Paling mendapat permintaan adalah Pakej Eropah 6 West Europe Countries Lite (11 hari 9 malam) bernilai RM9,990 dan ia menyumbang lebih 15 peratus kepada jualan syarikat,” katanya.

Beliau berkata, selain itu Nuh Travel juga sentiasa menganjurkan cabutan bertuah sebagai menghargai pelanggannya.

“Tahun ini, kami sudah menjalankan dua pusingan cabutan bertuah kepada pelanggan dengan menawarkan hadiah bernilai RM15,000 masing-masing.

“Berikutan peningkatan keyakinan pelanggan terhadap Nuh Travel, syarikat bakal menganjurkan cabutan bertuah tahun depan bagi pelanggan yang membuat tempahan pakej sepanjang bulan November 2024 hingga April 2025,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top