Kobe: Lima anak kucing pallas yang terkenal dengan gelaran kucing paling ‘masam’ di dunia disebabkan raut wajahnya yang sentiasa kelihatan merajuk atau sedih kini mula dipamerkan kepada umum di sebuah zoo di Jepun sejak 23 Julai lalu.
Kobe Animal Kingdom menampilkan empat anak kucing jantan dan seekor daripadanya adalah betina, dengan kesemuanya dilahirkan di zoo berkenaan pada Mei lalu.
Haiwan unik ini dipercayai antara spesies kucing tertua yang masih wujud di dunia dan berasal dari kawasan berbatu serta gersang di Asia Tengah.
Dalam satu kenyataan bertulis kepada AFP pada 27 Julai, pihak zoo menjelaskan bahawa spesies berkenaan jarang dipamerkan di zoo berikutan sifatnya yang lebih sensitif terhadap jangkitan penyakit.
Semasa dilahirkan, kelima-lima anak kucing itu hanya mempunyai berat kira-kira 150 gram.
Bagaimanapun, beratnya kini masing-masing sudah melebihi satu kilogram dan mula makan makanan pejal seperti daging ayam dan daging kuda.
“Kami berharap orang ramai dapat datang melihat sendiri betapa sihatnya anak kucing ini, yang bermain dengan gembira dan tidur dengan nyenyak seperti kanak-kanak,” kata pihak zoo berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




