redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usianya baru 26 tahun namun Nur Tasnim Shah, tetapi kini memiliki empayar perniagaan tudung dan pakaian di bawah jenamanya sendiri selain pengikut yang ramai di laman sosial.
Kerja keras dan kesungguhan Tasnim juga berhasil apabila dipilih sebagai penerima anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2024 (100MYE) di ibu negara, Jumaat lalu.
Di sebalik kejayaan itu, Tasnim mengakui tidak mudah sampai ke tahap sekarang kerana segalanya bermula daripada bawah.
Bagaimanapun, setiap peluang yang datang dalam hidupnya tidak pernah disia-siakan sehingga kehidupannya berubah dan bergelar usahawan berpengaruh dalam usia muda.
“Jujurnya saya bukan datang daripada keluarga senang dan kerana itu saya usaha cari duit sendiri dengan bekerja sambilan ketika di tingkatan empat.
“Selepas sekolah, saya mula dapat tawaran jadi model dan pada masa sama aktif di Instagram (IG) hingga diberi peluang bekerjasama dengan jenama terkemuka.
“Kemudian, saya sambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan undang-undang dan pernah menjalankan perniagaan kosmetik serta beberapa bisnes lain, namun tidak menjadi, mungkin kerana kurang ilmu, juga pengalaman waktu itu,” katanya.
Lantaran kegagalan itu, Tasnim mengakui pernah hampir berputus asa, namun masih meneruskan usaha kerana menganggap apa dilalui sebagai proses pembelajaran yang perlu ditempuh untuk bergelar usahawan.
Menurutnya, keluarga banyak memberi semangat untuk bangkit terutama ketika berdepan kecaman daripada mereka yang tidak senang dengannya.
“Cabaran saya adalah ada orang tunggu saya atau orang terdekat misalnya kakitangan saya buat silap untuk tuding kesalahan sepenuhnya pada saya.
“Ada juga juga cakap apa dikecapi kerana cantik, tapi jika betul (kerana cantik) kenapa ada perniagaan saya buat tak menjadi?
“Tapi saya bersyukur kerana suami (Muhammad Amin Daniell, 25) banyak membantu dan saya banyak belajar daripadanya kerana keluarganya juga ada perniagaan, jadi berpengalaman untuk beri tunjuk ajar kepada saya,” katanya yang turut berterima kasih kepada pengikut kerana memberi sokongan hingga sampai ke tahap sekarang.
Tasnim berkata, kejayaan dikecapi dalam bidang keusahawanan adalah permulaan kerana sedar perjalanannya masih jauh dan perlu berusaha lebih keras untuk mengukuhkan jenama perniagaan supaya lebih dikenali.
“Nak mulakan perniagaan itu lebih senang sebenarnya berbanding kekalkan, tapi saya cuba dapatkan semangat daripada mereka yang positif dan bukan asyik mempersoalkan apa dilakukan.
“Pada masa sama, saya sedang menjalani latihan dalam kamar (chambering) kerana masih menyimpan hasrat untuk menjadi peguam.
“Andai kata tiada rezeki nak jadi peguam sekalipun, sekurang-kurangnya saya ada ilmu berkaitan perundangan kerana pelajaran itu penting bukan hanya untuk jaminan masa depan, tapi membentuk peribadi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




