mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar sekali lagi akan dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi ini.
Menurut sumber, pasangan terbabit selesai direkod keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 10.30 malam tadi.
“Bagaimanapun mereka akan menyambung keterangan pada jam 9 pagi ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
“Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
“Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023,” katanya.
Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




