Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran nombor satu negara, Toh Ee Wei mengakui tidak dapat menjamin prestasi cemerlangnya akan kembali selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris. Menurut Ee Wei, yang bakal kembali beraksi selepas mengalami kecederaan September lalu, menyatakan fokusnya kini adalah untuk mengembalikan rentak pertandingan dalam dua kejohanan akan datang, iaitu Masters Jepun dan China, bulan ini. “Saya rasa sudah lebih sebulan tidak beraksi dalam kejohanan. Saya tidak pasti apa yang akan berlaku, tetapi apabila bermain, saya akan cuba berikan yang terbaik. Tiada siapa yang mahu kalah, dan kami akan berjuang untuk setiap mata di kejohanan akan datang,” katanya kepada media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini. Masters Jepun 2024 akan diadakan di Kumamoto dari 12 hingga 17 November, manakala Masters China di Shenzhen akan bermula dari 19 hingga 24 November. Selepas tersingkir di peringkat suku akhir Sukan Olimpik 2024, gandingan Tang Jie-Ee Wei beraksi dalam empat kejohanan termasuk meraih gelaran juara di Terbuka Korea dan separuh akhir Terbuka Hong Kong. Namun, kemaraan mereka terhenti apabila Ee Wei terpaksa menerima 16 jahitan pada lengan kiri akibat kemalangan di gimnasium ABM, Bukit Kiara. Meskipun tidak sabar untuk kembali ke kejohanan sebenar, pemain berusia 24 tahun ini bersyukur dapat merasai pengalaman bertanding melalui acara pertunjukkan, Bdmntn-XL Tournament, yang diadakan di Jakarta minggu lalu. Dalam kejohanan tersebut, Ee Wei menyertai pasukan BlitzersXL bersama pemain beregu lelaki profesional Ong Yew Sin, serta Aya Ohori (Jepun) dan Kunlavut Vitidsarn (Thailand), dan berjaya menewaskan HurricaneSBXL di final untuk meraih gelaran juara. Ketika ditanya sama ada dia menganggap musimnya sudah berakhir selepas kecederaan itu, pemain kelahiran Melaka itu menafikannya kerana berjaya pulih dengan cepat hasil rawatan cemerlang daripada ahli fisioterapinya. “Saya dimasukkan ke hospital selepas kemalangan itu tetapi berjaya kembali ke latihan dalam masa empat hari. Saya tidak terlalu memikirkan perkara yang jauh, hanya fokus pada pemulihan. Saya cukup gembira dengan perkembangan sehingga kini,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



