Rome: Pengendali Napoli Antonio Conte, mempunyai kenangan manis semasa beliau bersama Inter Milan namun tidak akan mengalah apabila mereka bertemu dengan juara bertahan dalam pertembungan pasukan teratas Serie A di San Siro.
Conte memberi nafas baru kepada Inter dan membantu mereka menyekat dominasi sembilan tahun Juventus ke atas Scudetto, menamatkan rentak kemenangan pada musim 2020-3021 untuk meraih gelaran pertama sejak musim treble pada 2009-2010.
Kini bersama Napoli, sebuah kelab yang berusaha untuk kembali ke tahap kejayaan mereka dalam memenangi gelaran pada 2022-2023, pasukan Conte berada di puncak Serie A dengan 25 mata selepas 11 perlawanan, satu mata di depan Inter menjelang pertemuan di San Siro.
“Sudah tentu sangat menyenangkan untuk kembali ke tempat saya bekerja dan menang. Ya, dua tahun yang menggembirakan.
“Ia adalah pengalaman yang indah yang saya bawa dalam diri saya, seperti semua pengalaman lalu yang saya jalani dengan sepenuh hati,” kata Conte kepada pemberita.
Rentak kemenangan Napoli dalam Serie A terhenti pada minggu lalu ketika mereka tewas 3-0 kepada Atalanta dan Conte berkata beliau tidak berhasrat untuk kehilangan tiga mata lagi ketika bertemu dengan pasukan Simone Inzaghi.
“Tiga mata adalah sangat penting, memang tidak dapat dielakkan bahawa kami akan bertemu dengan pasukan ketika ini berdasarkan apa yang mereka tunjukkan, adalah pasukan yang paling kuat.
“Kami tidak akan ke San Siro untuk mengibarkan bendera putih sebelum bermula namun penuh keyakinan untuk bermain dengan cara kami. Kemudian kita akan lihat apa yang berlaku.
“Ia akan menjadi ujian penting, kami mengetahui potensi diri dengan pasukan terbaik dan ia cukup penting untuk memahami kemajuan kami. Jangan lupa bahawa kami tiba di puncak liga… dan objektif kami adalah untuk kekal di puncak,” kata Conte.
Penyerang Napoli, Romelu Lukaku pula hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan terakhirnya namun ketika ditanya mengenai prestasi pemain itu, Conte berkata beliau sudah bosan dengan soalan mengenai penyerang Belgium itu.
“Setiap kali ada sidang media, pasti ada soalan tentang Lukaku. Kita perlu bercakap mengenai pasukan. Prestasi Lukaku bergantung pada pencapaian pasukan,” kata Conte.
© New Straits Times Press (M) Bhd




