Wajah 'jambu' boleh dibentuk lakon watak aksi

Wajah 'jambu' boleh dibentuk lakon watak aksi

am@hmetro.com.my

SELEPAS menyepikan diri seketika, pelakon Aniq Suhair kini kembali merancakkan industri seni tanah air kerana minatnya mendalam dalam bidang lakonan sejak dulu.

Menurut Aniq atau nama sebenarnya Mohammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 26, dia juga bersyukur kerana banyak projek lakonannya akan menemui penonton pada tahun ini.

“Alhamdulillah, setakat ini banyak juga projek lakonan yang akan keluar dan banyak juga yang sudah selesai penggambaran. Cuma projek untuk tahun depan belum ada lagi.

“Saya juga menerima tawaran berlakon mengikut kesesuaian jadual kerja pada tahun ini. Mana-mana tawaran yang tak boleh buat, kita tolak dengan cara baik dengan alasan kita tak boleh buat.

“Setakat ini, semuanya berjalan lancar di mana saya boleh susun tawaran lakonan yang diterima dan komitmen kerja lain,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Aniq berkata, dia juga memilih untuk ‘multitasking’ kerana terikat dengan komitmen lain dan pada masa sama terbabit dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun, katanya, dia berdepan kesukaran untuk meyakinkan produser untuk menawarkannya berlakon dalam filem aksi kerana ‘wajah jambu’ dimilikinya.

“Saya akui memang susah untuk yakinkan produser sebab saya rasa kriteria pemilihan pelakon untuk genre aksi juga berdasarkan ‘look’ dan paras rupa.

“Contohnya, kalau penerbit buat cerita juvana, mereka akan pilih pelakon muka jahat dan gengster serta tidak akan pilih pelakon ‘muka jambu’.

“Sedangkan, sesebuah karakter dalam bidang lakonan boleh dibentuk, jadi tidak ada masalah sebenarnya kalau pelakon ‘muka jambu’ yang dipilih sebab mereka boleh botakkan kepala dan sebagainya,” katanya.Kata Aniq lagi, mungkin industri hiburan tempatan masih lagi memilih paras rupa fizikal berbanding bakat untuk watak dalam lakonan.

“Sedangkan saya rasa sesebuah karakter itu boleh dicipta kerana ramai pelakon ‘muka jambu’ pun boleh bawa watak gengster, perompak, perogol dan anggota polis, cuma mereka (produksi) yang tidak berani untuk mencubanya.

“Saya sendiri pernah berdepan situasi di mana pernah pergi satu uji bakat untuk filem di mana cerita itu ada dua pengarah. Seorang cakap okay, tapi seorang lagi cakap ‘budak ni terlalu ‘jambu’.

“Memang penerbit mencari wajah sesuai untuk karakter terbabit tapi bagi saya, kenapa tidak masa uji bakat minta pelakon tunjuk kemampuan kerana kita boleh bagi seperti dikehendaki skrip,” katanya.Sebagai pelakon, katanya, dia sanggup buat apa sahaja perubahan fizikal demi menghidupkan karakter dilakonkan.

“Kalau boleh, saya nak bagi ‘look’ yang berbeza dari segi fizikal atau keseluruhan paras rupa untuk setiap naskhah.

“Saya juga sanggup dan terbuka untuk buat apa saja perubahan seperti botakkan kepala untuk menjiwai watak,” katanya.

Ditanya sama ada dia ‘buat badan’ untuk menyertai pertandingan kecergasan global, Hyrox, Aniq menafikannya.

“Saya tak ikut benda-benda yang tular dan tidak kisah kalau orang lain buat kerana saya bukan ada perasaan takut ketinggalan atau fear of missing out (FOMO).

“Saya memang menjaga berat badan menerusi sesi latihan di gimnasium empat kali seminggu dan mengambil suplemen. Cuma masa ‘shooting’ susah sikit nak buat senaman sebab jadual padat,” katanya.

Beralih projek filem terbaharu, kata Aniq, filem genre aksi thriller lakonannya berjudul Zero yang diterajui Hun Haqeem dijangka ditayangkan di pawagam pada Oktober depan.

“Filem genre aksi ini sudah selesai penggambaran. Saya bawa watak sebagai anggota polis, tapi tak banyak buat babak aksi pun dalam filem ini.

“Insya-Allah, saya harap dapat banyak lagi tawaran untuk berlakon dalam filem aksi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, berkongsi wataknya dalam drama Ate Kome, I Love You yang ditayangkan di platform penstriman Viu, Aniq berkata, dia memegang watak sebagai Mamat yang juga penghantar barang.

Menurutnya, dia juga berdepan cabaran kerana perlu mendalami dialek Perak dalam drama itu.

“Ini kali pertama saya dapat tawaran berlakon yang perlu belajar dialek Perak. Saya memang berasal dari Taiping, Perak tapi dalam cerita ini kita kena buat loghat Kuala Kangsar.

“Loghat Kuala Kangsar berbeza sebab Taiping sudah ke arah utara dan semua ahli keluarga saya pun cakap loghat utara dan kami tak biasa cakap dialek Kuala Kangsar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top