am@hmetro.com.my
Seri Kembangan: Penyanyi cilik, Kiki Fateeha, 13, yang juga anak didik penyanyi, Aepul Roza menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara di pentas akhir program realiti televisyen The Chosen One 2024 yang berlangsung di sini, malam tadi.
Kiki yang berasal dari Sabah juga berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan rakaman sebuah lagu bersama label Rocketfeul Entertainment.
Aepul turut membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sempena kemenangan anak didiknya itu.
Kiki berkata, dia juga tidak menyangka dengan kemenangannya itu kerana semua peserta yang bertanding turut hebat.
“Terima kasih kepada abang Aepul yang juga jurulatih dan semua peminat yang menyokong sepanjang lapan minggu bersaing.
“Saya juga akan menyimpan wang kemenangan ini untuk menyambung pelajaran nanti,” katanya.
Pada konsert akhir itu, Kiki menyampaikan lagu solo Kau Kekasihku (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan lagu secara medley Jangan Kau Mimpi (Allahyarham Siti Sarah) serta lagu Butter (BTS) pula berduet dengan Aepul.
Bukan saja memberikan persembahan bertenaga pada konsert akhir, Kiki juga menampilkan persembahan konsisten sepanjang lapan minggu bersaing dalam program The Chosen One musim kedua itu.
Sementara itu, Ketua Juri, Datuk Awie berkata, persembahan Kiki seolah-olah seperti penyanyi profesional ketika menyampaikan lagu Kau Kekasihku.
“Saya terkesima kerana dia memang penyanyi yang hebat. Dia menyanyi seperti penyanyi ‘original’ (asal) dengan lagu sendiri. Nyanyiannya juga sampai ke jiwa,” katanya ketika memberi komen persembahan peserta.
Selain Awie, juri tetap program itu ialah Jaclyn Victor, manakala komposer dan penyanyi Ajai dan Ziana Zain sebagai juri jemputan.
Sementara itu, naib juara dimenangi peserta dari Johor, Akhil Mikail, 11, yang juga anak didik Tomok dengan memenangi hadiah wang tunai RM20,000 serta memenangi kategori persembahan terbaik.
Selain itu, peserta dari Sabah, Atikah Rose, 17, yang juga anak didik penyanyi, Adira Suhaimi memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM10,000.
Tempat keempat pula dimenangi peserta dari Sabah, Azry Sabri, 15, yang juga anak didik Firdaus dan Fahimi Rahmat dengan memenangi hadiah wang tunai RM5,000.
Pentas akhir The Chosen One musim kedua turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan seperti Tuju, MK, Meerfly, Benzoloo dan Ghid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




