Mohon sokong filem keagamaan

Mohon sokong filem keagamaan

mohamadridzuan@hmetro.com.my 

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Adam Shahz meminta masyarakat agar memberikan sokongan terhadap filem keagamaan berjudul Mereka Yang Tertewas yang kini sedang ditayangkan di pawagam. 

Menurutnya, filem yang diadaptasi dari novel karya Hasanuddin Md Isa itu membawakan mesej yang bagus dan pernah terpilih sebagai novel sastera sekolah. 

“Kalau kita tengok sebenarnya di  Malaysia ini kurang filem-filem yang bercorak keagamaan. Jadi, ini salah satu yang menonjolkan keperibadian seseorang, bagaimana falsafah hidupnya nak mendekatkan agama Islam.

“Namun, ia ditentang masyarakat kononnya ajaran sesat. Jadi, masyarakat kena datang tengok untuk tahu sendiri apa yang dipaparkan. 

“Saya sendiri suka tengok cerita ini kerana latar belakangnya ialah pada era 1980-an. Ia pasti akan menggamit memori kepada mereka yang melalui era itu,” katanya kepada Harian Metro. 

Adam yang membawakan watak Pudin mengakui filem itu pasti berdepan saingan daripada filem-filem lain di pawagam. 

“Sejujurnya saya cakap akan susah untuk bertahan, tapi kita bagi peluang filem genre begini sebab kalau kita lihat di Indonesia, banyak filem-filem begini dihasilkan. Kita boleh tengok di Netflix 

“Dari situ kadang-kadang kita maklum manusia hari ini dia tak boleh sekadar mendengar. Dia perlu melihat video dan perlu melihat. Jadi dia tahu apa bendanya. 

“Saya rasa filem-filem macam ini sepatutnya perlu diperbanyakkan supaya masyarakat dapat menerima di kemudian hari,” katanya. 

Menurutnya, golongan muda sering terarah dengan filem seram dan gangster sehingga mempengaruhi diri mereka. 

“Harapnya badan-badan induk seperti Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) akan memberikan laluan mudah untuk filem-filem bercorak keagamaan ini supaya dapat jadi pedoman dan tauladan. 

“Ia akan beri manfaat kepada generasi muda. Kalau tengok sekarang kita sangat takut macam-macam perkara berlaku. Daripada filem-filem begini saya rasaxdapat membentuk masyarakat,” katanya. 

Filem arahan Datuk Zulkifli M. Osman ini turut menampilkan lakonan Zaidi Omar, Hilal Azman, Mubarak Majid, Sherry Merlis, Fad Anuar dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top