TEHERAN: Tentera Iran mengumumkan pada Ahad bahawa pihaknya menawarkan ganjaran berjumlah AS$30,000 (RM123,000) bagi pembunuhan atau penangkapan anggota tentera Amerika Syarikat (AS).
Teheran berkata,, dengan ganjaran itu digandakan jika tindakan tersebut dilakukan oleh seorang wanita.
Ketua Tentera Iran, Amir Hatami berkata, rancangan itu dirangka susulan banyak permintaan daripada pihak yang mahu menyumbang kepada sokongan kewangan tersebut, menurut agensi berita rasmi IRNA.
Tiada penempatan anggota tentera darat AS yang diketahui di Iran sepanjang perang di Asia Barat itu, kecuali satu misi menyelamat pada April bagi membawa keluar seorang juruterbang Amerika yang pesawatnya ditembak jatuh.
Hatami tidak memberikan sebarang butiran mengenai lokasi atau masa pembunuhan atau penangkapan anggota tentera AS itu dijangka berlaku.
“Mana-mana individu yang membunuh atau menangkap dan menyerahkan anggota tentera Amerika yang menyerang akan menerima ganjaran bersamaan AS$30,000 daripada Tentera Republik Islam Iran,” kata Hatami.
“Wanita Iran yang berani dan melakukan tindakan sedemikian akan menerima ganjaran dua kali ganda,” tambahnya.
Perang antara Teheran dan Washington bermula pada 28 Februari selepas AS bersama Israel, menyerang Iran.
Konflik itu diikuti gencatan senjata pada April selepas hampir 40 hari pertempuran dan rangka kerja rundingan damai pada Jun yang kemudian gagal.
Sejak itu, Iran dan AS saling melancarkan serangan secara berkala, dengan pertempuran tertumpu terutamanya di selatan Iran dan sekitar Selat Hormuz. – AFP
