am@hmetro.com.my
Sungai Besar: Jenazah kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Selaton Nuri yang meninggal dunia selepas tudungnya terbelit pada penggelek pintu kunci air semalam, selamat dikebumikan malam ini.
Terdahulu, jenazah ibu kepada enam anak berusia 36 hingga 23 tahun itu menjalani proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebelum dimandi dan dikafankan.
Jenazah kemudian dibawa ke rumahnya di Kampung Bagan Terap kira-kira 5.30 petang untuk tatapan ahli keluarga sebelum ke Masjid Al-Mujahiddin, Pekan Bagan Terap untuk disolatkan.
Solat jenazah diimamkan anak lelaki Allahyarham, Riduan Basar, 26.
Selepas selesai disolatkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap dan selamat dikebumikan pada 9.40 malam.
Terdahulu, media melaporkan tragedi menimpa Selaton, 55, yang ketika itu cuba menutup pintu air susulan air laut pasang.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad dilapor berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 4 petang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Tragedi tudung terbelit: Suami terkilan tak jumpa isteri 2 hari kerana kerja malam
© New Straits Times Press (M) Bhd
