ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara mengulangi skrip sama seperti edisi tahun lalu di perlawanan pembukaan Trofi Juara-Juara Asia apabila tumpas dalam aksi sulung apabila kalah 0-4 kepada tuan rumah, India sebentar tadi.
Tahun lalu dalam aksi pembukaan skuad wanita negara kalah 0-3 kepada Jepun dan kali ini India pula yang memberikan permulaan langkah kiri buat pasukan bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Malaysian Tigress apabila mengekalkan keputusan 0-1 sehingga separuh masa pertama berakhir.
Gol pembukaan tuan rumah itu terhasil melalui pukulan sudut penalti yang disudahkan Sangita Kumari pada minit kelapan.
Woman In Blue terpaksa menunggu sehingga minit ke-43 untuk meledak gol kedua kali ini menerusi pukulan sudut penalti Preeti Dubey. Seminit kemudian mpasukan bimbingan Harendra Singh menambah gol ketiga melalui pukulan sudut penalti Udita Duhan.
Sangita menambah gol kedua peribadi pada minit ke-55 kali ini menerusi jaringan padang bagi membantu pasukannya berada di tangga kedua di belakang China dalam saingan secara round robin itu.
China mengungguli tangga teratas selepas membelasah Thailand 15-0, manakala Jepun dan Korea Selatan pula terikat 2-2. Esok skuad hoki wanita negara akan menyambung aksi di Stadium Hoki Rajgir dengan berdepan China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




