Sebelum ini kita dikejutkan dengan kemalangan maut pasangan suami isteri yang dipercayai dilanggar pemandu mabuk di Jalan Masjid, Johor Bahru.
BACA: Lima Beradik Jadi Yatim Piatu Sekelip Mata, Ibu Bapa Dirempuh Pemandu Mabuk
Paling menyayat hati, pemergian pasangan itu meninggalkan lima orang anak yang sekelip mata menjadi yatim piatu. Kini, mereka dijaga oleh nenek mereka iaitu Ramlah Kasiran yang berusia 56 tahun.
Nenek mahu saman sebagai pengajaran dan pembelaan

Memetik laporan daripada Berita Harian, Ramlah berkata dia masih berasa trauma dengan insiden yang menimpa anak dan menantunya akibat kecuaian orang lain. Namun, beliau tetap reda dengan ketentuan Allah SWT tetapi mahu pesalah dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Ramlah juga berkata tindakan ini diambil kerana banyak kes pemandu mabuk dikenakan denda dengan jumlah yang tidak setimpal. Baginya apatah lagi dengan nasib cucunya yang ditinggalkan tanpa apa-apa.
Esok, insya-Allah peguam yang menguruskan kes kemalangan anak keenam saya akan ziarah kami dan berbincang hal ini.-Katanya
Duit kemenangan digunakan untuk menyara cucu

Ramlah juga berkongsi anaknya yang lain ada membantu, tetapi sekadarnya sahaja kerana masing-masing mempunyai keluarga dan tanggungan. Beliau juga berkata, jika ditakdirkan menang. Ramlah ingin gunakan duit tersebut untuk menyara lima cucunya itu.
Ramlah sebenarnya risau kerana usianya yang semakin lanjut. Namun, Ramlah tetap berdoa kepada Allah SWT supaya dipanjangkan umur untuk menjaga mereka semua sehingga boleh berdikari.
Makcik takut kalau makcik ‘pergi’ dulu, mereka tiada simpanan dan tiada kewangan. Makcik tidak bekerja, hanya pakcik yang bekerja sebagai pemandu ‘forklift’ di sebuah pasar raya.-Jelas Ramlah
Dalam pada sama yang sama, Ramlah juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang hadir ziarah dan menghulurkan bantuan kepadanya.





