surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemandu kereta BMW yang tular melanggar sebuah motosikal sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut, Jumaat lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, P Kuhan Raj, 31, yang juga peniaga kecil-kecilan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis BMW dengan laju sehingga menyebabkan kematian pembonceng motosikal, Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid, 7, di Lebuhraya Bukit Jalil ke Puchong, sekitar jam 9.50 malam pada 15 November lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara minimum antara lima tahun hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Salsabila Mohammad menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Inderpal Singh yang mewakili tertuduh memohon kadar jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarganya.
“Tertuduh menanggung isteri yang juga suri rumah, dua anaknya masing-masing berusia dua dan empat tahun, serta ibu bapanya yang uzur,” kata peguam itu.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Haneefa kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 selain mengarahkan supaya lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari tahun hadapan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut dalam kemalangan selepas motosikal yang dibonceng bersama ibu bapanya dirempuh dari belakang.
Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berusia tujuh tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



