nikkhartina@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sejarah Kesultanan Negeri Perak yang gemilang terus menjadi khazanah tidak ternilai dengan penerbitan pelbagai manuskrip dan dokumen penting yang menjadi saksi kepada perjalanan satu jalur dinasti diraja.
Antara naskhah penting kerap dirujuk sejarawan ialah Hikayat Misa Melayu dan Salasilah Raja-Raja Perak.
Hikayat Misa Melayu banyak dikupas dalam pelbagai kajian akademik, sebaliknya Salasilah Raja-Raja Perak kurang mendapat perhatian walaupun ia sumber sejarah sama penting.
Menurut Setiausaha Persatuan Darul Ridzuan (PDR) di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Megat Iskandar Megat Zaharuddin, sempena ulang tahun ke-10 pemerintahan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah baru-baru ini, sebuah buku baharu yang mengabadikan warisan ini diterbitkan.
“Manuskrip Salasilah Raja-Raja Perak yang sebenar tersimpan di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London, iaitu daripada koleksi Maxwell yang bernombor siri MS 24, MS 103, dan MS 105.
“Walaupun salinan manuskrip ini boleh didapati di lokasi lain termasuk Arkib Negara Malaysia, kualiti imej yang teruk menyukarkan penyelidik untuk meneliti kandungannya,” katanya.
Megat Iskandar berkata, beliau dan Raja Khuzairie Azaham Raja Azaham yang juga penulis bersama mencadangkan penerbitan buku ini selepas dilantik sebagai jawatankuasa (JK) PDR.
“Sebenarnya kami penggiat dan pengamal genealogi (kajian sejarah keluarga) lebih 30 tahun. Idea terbitkan buku ini sudah ada lama. Jadi, apabila dipilih sebagai JK PDR, kami cadang pelancarannya sempena ulang tahun ke-10 pemerintahan Tuanku,” katanya.
Menurut Megat Iskandar, kajian ilmiah pada MS 105 pernah dijalankan Amelia Ceridwen dan diterbitkan dalam bentuk artikel di dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS).
Sementara, MS103 dikaji Prof Dr Jelani Harun dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan hasilnya diterbitkan dalam satu bab di dalam buku terbitan Arkib Negara Malaysia berjudul Umpama Sebuah Bahtera pada 2011.
“Manakala MS 24 dikaji saya sendiri dalam dissertasi Sarjana Sejarah di Universiti Malaya pada 2018.
“Disebabkan kami buat kajian ini agak lama, apabila PDR mahu terbitkan, kami cadang buat kompilasi ketiga-tiga versi manuskrip MS 105, MS 103 dan MS 24 dalam satu buku.
“Usaha transliterasi ketiga-tiga manuskrip ini menjadi cepat sebab kami sudah khatam jalan ceritanya.” katanya.
Menurut Megat Iskandar, buku ini istimewa kerana ia bukan saja memaparkan imej setiap halaman manuskrip asal, malah merumikan teks bagi memudahkan pembaca dan penyelidik.
“Ini bermakna, pembaca boleh faham ketiga-tiga teks lebih mudah terutama bagi mereka yang kurang cekap membaca tulisan jawi lama,” katanya.
Megat Iskandar berkata, teks Salasilah Raja-Raja Perak menceritakan susur galur keturunan sejak tertubuhnya Kesultanan Perak sekitar 1528.
“Secara umum, rakyat hanya tahu salasilah kesultanan merujuk kepada individu bergelar sahaja. Tetapi, di dalam teks ini, bilangan anak, adik-beradik dan hubungan kekeluargaan antara pelbagai individu diterangkan terperinci menjadikan ia rujukan paling tepat, khususnya bagi kerabat diraja Perak,” katanya.
Menurutnya lagi, MS 24, MS 103 dan MS 105 disalin orang berbeza yang boleh dicirikan dari perbezaan tulisan tangannya. Malah, setiap teks juga memulakan salasilah zaman berlainan.
“MS 24 bermula daripada Sultan Muzaffar Shah I sehingga zaman pasca Perang Perak ketika Perak diperintah oleh Regent Raja Muda Yusuf 1876-1886.
“Manakala MS 103, dari Raja Sulung yang diangkat menjadi Sultan Perak ke-10 dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah II dan dicatat tarikh penulisannya pada 7 Jamadilakhir 1299,” katanya.
MS 105 adalah naskhah diterima Maxwell daripada Raja Bendahara Osman (1871-1876) dan dimulai dari zaman Raja Suran sehingga ke zaman Melaka, seterusnya ke Kesultanan Perak. MS 105 berakhir ketika zaman Marhum Sayong iaitu selepas kemangkatan Sultan Ahmaddin Shah di sekitar 1806.
Megat Iskandar berkata, dalam usaha menyiapkan buku ini, cabaran paling besar adalah untuk mendapatkan imej terbaik.
“Contoh MS 24 yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia amat buruk kualitinya dan mustahil dibaca. Mujurlah, saya dapat sendiri dari London ketika belajar di sana dengan membuat salinan terus dari Royal Asiatic Society Library.
“Bagi MS 103 dan 105, ia didapati dari koleksi peribadi Raja Khuzairie Azaham. MS 103 diwarisi bapanya yang juga bekas Pengarah Muzium Perak dan MS 105 dibeli imejnya dari London,” katanya.
Megat Iskandar berharap lebih banyak karya seperti ini diketengah demi membantu pengkaji.
“Diharap buku ini menjadi satu lagi sumbangan penting kepada dunia akademik serta masyarakat yang ingin mendalami sejarah dan warisan Kesultanan Perak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




