ISKANDAR PUTERI: Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat 12 musim berturut-turut tahun ini ditutup dengan pertunjukan bunga api dan persembahan dron bercahaya yang melimpahi seluruh ruang udara Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Sambutan ‘JDT Realm of 12’ yang dihadiri pemilik Kelab JDT yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan isteri, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor turut dimeriahkan dengan persembahan artis antarabangsa.
Seramai 32,230 penyokong tidak melepaskan peluang menyaksikan sambutan keraian tersebut dengan persembahan artis ternama seperti 50 Cent, Onefour, Big Ben serta kumpulan tarian Jabbawockeez dan The Royal Family.
Majlis penyerahan trofi Liga Super disempurnakan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan, diiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Terdahulu, kerancakkan sambutan bermula dari awal pagi menerusi Karnival ‘FanFest’ termasuk persembahan artis tempatan seperti Ella, Cherpen, Orkes A. Hizadin, K.O.I, Def Jam Malaysia, SonaOne, Plague of Happiness dan juga cabutan bertuah.
Sambutan bersejarah itu turut disiarkan menerusi layar gergasi (big screen) di kawasan ‘FanFest’ di perkarangan stadium berkenaan.
JDT melengkapkan kejayaan ‘quadruple’ apabila menjuarai Piala Malaysia 2025/2026 buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Piala Malaysia menjadi pelengkap musim penuh gemilang JDT yang sebelum ini turut memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selain melakar sejarah menyamai rekod tanpa kalah dalam 108 perlawanan liga.




