Lelaki warga emas maut kemalangan, pemandu lori kontena ditahan bantu siasatan

Lelaki warga emas maut kemalangan, pemandu lori kontena ditahan bantu siasatan

am@hmetro.com.my

Butterworth: Polis menahan pemandu lori kontena bagi membantu siasatan, selepas dipercayai terbabit kemalangan mengorbankan penunggang motosikal warga emas di Jalan Perusahaan Sungai Lokan 6, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 68 tahun cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan lori kontena Scania dan motosikal Honda EX5 di persimpangan Jalan Perusahaan Sungai Lokan 6.

Beliau berkata, lori dipercayai membelok ke kiri untuk memasuki persimpangan, pada masa sama penunggang motosikal yang bergerak seiring dipercayai gagal mengelak, sebelum berlaku pelanggaran pada bahagian hadapan sisi kiri lori.

“Akibat pelanggaran, penunggang motosikal cedera parah dan dikejarkan ke HSJ, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 54 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top