kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu distruktur secara progresif dengan majikan mencarum lebih tinggi untuk pekerja berpendapatan rendah dan kadar lebih rendah bagi golongan berpendapatan tinggi bagi mempercepat pembentukan simpanan persaraan pekerja bergaji rendah.
Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, pendekatan itu boleh menjadi sebahagian daripada dasar gaji progresif dengan mengalihkan sebahagian pembentukan simpanan daripada pekerja berpendapatan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, sebagai contoh majikan boleh mencarum sekitar 15 hingga 16 peratus bagi pekerja yang berpendapatan kurang RM5,000, manakala kadar caruman majikan bagi pekerja berpendapatan lebih RM10,000 boleh diturunkan kepada sekitar empat peratus.
“Ini membantu membina simpanan persaraan pekerja berpendapatan rendah dengan lebih cepat dan ia bersifat progresif kerana membolehkan golongan berpendapatan rendah meningkatkan simpanan mereka.
“Pada masa sama, bagi mereka yang sudah berpendapatan lebih RM10,000, kita tahu mereka sudah berada di landasan yang baik untuk mencapai perancangan kewangan persaraan, jadi kadar caruman mereka boleh dihadkan,” katanya kepada media selepas menyampaikan topik Malaysian Journey Towards Dignified Retirement: Are We Ready? di International Social Wellbeing Conference (ISWC) 2026, di sini, hari ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkata, pendekatan berkenaan juga boleh mengurangkan beban kepada perniagaan kerana peningkatan caruman bagi pekerja berpendapatan rendah diimbangi dengan pengurangan kadar caruman bagi pekerja berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, katanya sebarang perubahan terhadap kadar caruman perlu dikaji dari segi kesannya terhadap ekonomi, pekerja dan majikan sebelum dilaksanakan.
Beliau berkata, isu kecukupan simpanan persaraan perlu diberi perhatian serius apabila hanya kira-kira 40 peratus pencarum KWSP mencapai tahap simpanan asas yang diperlukan untuk persaraan pada usia 55 atau 60 tahun, manakala baki 60 peratus masih belum mencapai tahap berkenaan.
“Kita perlu melihat kepada pendekatan yang berbeza dan bagi mereka yang berada di bawah paras pendapatan tertentu, kita boleh meningkatkan simpanan supaya mereka dapat membina simpanan dengan lebih cepat.
“Sebaliknya, bagi mereka yang sudah mempunyai simpanan KWSP yang tinggi, kita boleh mengurangkan beban simpanan mereka kerana kita tidak perlu terus meningkatkan simpanan pada kadar sama,” katanya.
Dalam pada itu, Shahril berkata, pekerja dalam ekonomi gig turut memerlukan mekanisme perlindungan persaraan yang lebih baik berikutan platform gig pada masa ini tidak mencarum kepada pekerja seperti sektor formal.
Katanya, keadaan itu memberikan kelebihan dari segi kos kepada platform berkenaan berbanding perniagaan tradisional yang menanggung kos pekerja termasuk caruman.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan cukai berdasarkan hasil kepada platform gig dipertimbangkan dan hasil kutipan digunakan untuk menyediakan caruman padanan kepada pekerja gig.
“Jika kita kenakan cukai empat atau lima peratus ke atas hasil platform, wang yang dikutip itu boleh digunakan untuk membuat caruman kepada pekerja gig mereka,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tanggungjawab penjagaan ibu bapa dan anak oleh golongan pertengahan sebagai ‘cukai tidak kelihatan’ kepada keluarga dan ekonomi negara kerana masa produktif digunakan untuk penjagaan yang tidak semestinya disediakan melalui perkhidmatan sosial atau kerajaan.
Katanya, keadaan itu turut berkait dengan isu kadar kelahiran yang semakin menurun apabila generasi muda bukan saja perlu mengambil kira kos membesarkan anak, malah tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin berusia.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu membangunkan sistem penjagaan warga emas yang lebih tersusun termasuk penyediaan perkhidmatan penjagaan oleh sektor awam.
“Pada masa ini kita hanya mempunyai pihak swasta, sedangkan sistem yang disediakan kerajaan perlu dibangunkan dari semasa ke semasa.
“Ia memang mahal dan sukar, tetapi kita perlu melihatnya sebagai peluang ekonomi untuk membina kelas perkhidmatan baharu yang diperlukan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




