Pemandu bas ada 29 saman ditahan pandu melulu cetus nahas di Genting Highlands

Pemandu bas ada 29 saman ditahan pandu melulu cetus nahas di Genting Highlands

harisfadli@hmetro.com.my

Bentong: Pemandu bas berusia 55 tahun yang memiliki 29 saman trafik ditahan kerana disyaki memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan tiga kenderaan di kilometer (KM) 16 Jalan Genting Highlands, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.09 petang membabitkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Aruz dalam perjalanan ke ibu negara.

“Setibanya di lokasi kejadian bas pertama dipercayai hilang kawalan di kawasan selekoh lalu melanggar bahagian belakang Perodua Aruz sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lagi bas persiaran.

“Akibat pelanggaran itu bas persiaran kedua hilang kawalan dan terbabas lalu terbalik di bahu kiri jalan manakala bas pertama terbabas ke bahagian kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bas persiaran terbabit masing-masing membawa 38 dan 36 orang penumpang termasuk pemandu bas yang membawa pekerja warga asing sebuah kilang elektronik di Selangor dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Genting Highlands.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu bas persiaran pertama berusia 55 tahun yang dipercayai memandu secara melulu sehingga hilang kawalan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemandu bas berkenaan ditahan bagi tujuan siasatan dan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati keputusan negatif.

“Semakan juga mendapati pemandu bas berkenaan memiliki 29 saman trafik bagi pelbagai kesalahan,” katanya.

Zaiham berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kemalangan itu namun lima penumpang bas terdiri daripada tiga warga Bangladesh dan dua warga Nepal serta warga tempatan iaitu penumpang Perodua Aruz mengalami cedera ringan.

Katanya, kesemua enam mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Terdahulu Harian Metro melaporkan beberapa penumpang warga asing cedera selepas bas dinaiki mereka terbabit kemalangan dalam perjalanan turun daripada Genting Highlands menuju ke ibu negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top