hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun tindakan penguatkuasaan kerap dilakukan bagi memberi peringatan supaya peniaga mengambil iktibar untuk tidak meletakkan barang perniagaan di tempat awam, masih ada segelintir peniaga yang berdegil melakukan perkara sama.
Terbaru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan dua tindakan sita serta-merta terhadap penjaja yang meletakkan barangan perniagaan di tempat awam di sekitar kawasan Sri Petaling.
Antara barangan yang disita seperti kerusi, meja, payung dan khemah perniagaan serta gas memasak.
DBKL dalam kenyataan berkata, tindakan khas itu dilakukan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal serta Pejabat Cawangan Seputeh.
“Hasil daripada tindakan berkenaan, sebanyak dua tindakan sita serta-merta dilaksanakan terhadap penjaja yang meletakkan barangan perniagaan di tempat awam. Tindakan diambil mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Semua barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, di sini untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” kata kenyataan itu di Facebook, hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang sudah dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan https://adukl.dbkl.gov.my,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




