‘Saya berat hati Marina pilih tinggalkan politik’ – Nie Ching

‘Saya berat hati Marina pilih tinggalkan politik’ – Nie Ching

JOHOR BAHRU – DAP Johor mengakui berat hati menerima keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sekali gus mengundurkan diri daripada arena politik.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, keputusan tersebut bagaimanapun dihormati dan parti tetap menghargai segala jasa serta sumbangan Marina sepanjang penglibatannya dalam DAP.

Menurut beliau, ketika Marina ditawarkan sebagai calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada 2022, kepimpinan parti telah menjelaskan bahawa pencalonan itu dirancang untuk satu penggal sahaja.

“Saya berasa amat bangga ketika tawaran itu dibuat oleh Pengerusi DAP Johor ketika itu, Liew Chin Tong. Kami telah menjelaskan bahawa pencalonan beliau di Skudai merupakan sebahagian daripada perancangan strategik parti.

“Tujuannya adalah untuk membolehkan beliau membina rekod dan reputasi sebagai wakil rakyat yang berwibawa sebelum memainkan peranan lebih besar dalam membantu memperluaskan khidmat DAP ke kawasan yang bukan kubu tradisi parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Marina mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Skudai pada PRN Johor akan datang dan memilih untuk berundur daripada dunia politik selepas mengadakan perbincangan dengan individu yang rapat dengannya.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, menjelang PRN Johor akan datang, kepimpinan parti melihat Marina sebagai calon paling berpotensi untuk bertanding di sebuah kerusi bandar yang pernah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Katanya, langkah itu selaras dengan strategi DAP untuk memperluaskan pengaruh parti ke kawasan di luar kubu tradisinya.

“Pada asasnya, kepimpinan parti berpandangan Marina mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP dalam usaha memperluaskan pengaruh parti.

“Perkara ini telah dijelaskan secara terperinci kepada beliau. Bagi menunjukkan parti akan terus bersamanya tanpa mengira keputusan PRN Johor kelak, saya turut berkongsi hasrat untuk mencadangkan beliau sebagai Pengerusi sebuah badan berkanun.

“Saya percaya platform tersebut mampu menjadi ruang untuk beliau terus menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Tambah beliau, DAP Johor sentiasa menghargai pemimpin yang sanggup mengambil langkah taktikal demi kepentingan parti dan akan terus memberikan sokongan kepada mereka dalam menghadapi cabaran politik.

Dalam masa sama, Nie Ching turut melahirkan rasa kesal sekiranya perbincangan berkaitan strategi pilihan raya negeri itu telah menimbulkan rasa kurang senang kepada Marina.

“Sebagai rakan seperjuangan dan Pengerusi DAP Johor, saya berasa amat berat hati dengan keputusan Marina untuk meninggalkan arena politik pada ketika ini.

“Sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi PRN Johor telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekalipun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sebagai pengerusi parti, menjadi tanggungjawabnya untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.

Nie Ching turut merakamkan penghargaan kepada Marina atas komitmen dan khidmat baktinya kepada parti serta rakyat sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Walaupun beliau memilih untuk berundur daripada arena politik, saya yakin masih terdapat banyak ruang dan peluang untuk kita bekerjasama pada masa hadapan demi kebaikan masyarakat serta negara,” katanya.

Scroll to Top