am@hmetro.com.my
Segamat: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, di sini, bagi menempatkan 11 mangsa daripada empat keluarga, di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Mohd Masni Wakiman berkata, PPS berkenaan dibuka pada 2 petang tadi apabila air melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
“PPS itu dibuka berikutan Kampung Seberang Batu Badak mula terjejas. Setakat ini, 11 mangsa iaitu enam lelaki dan tiga wanita serta dua kanak-kanak lelaki dipindahkan.
“Berlaku limpahan air di Sungai Muar dan pemantauan berterusan akan dijalankan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan akur apabila diminta oleh pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS.
Menurutnya, ini kerana ia akan menyulitkan situasi semasa apabila bekalan elektrik juga terputus.
“Penduduk terbabit diminta tinggalkan rumah kerana kita dimaklumkan hujan lebat berterusan selama beberapa hari dan air dijangka naik.
“Ada penduduk yang meninggalkan rumah tetapi ada juga enggan. Dalam situasi hujan serta banjir akan menyebabkan bekalan elektrik terputus dan keadaan gelap, ia menyulitkan kerja menyelamat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




