'Dulu jika banjir terpaksa naik bukit, sekarang ke PPS'

'Dulu jika banjir terpaksa naik bukit, sekarang ke PPS'

am@hmetro.com.my

Marang: Pengalaman berdepan banjir sejak 51 tahun lalu selepas menetap di Kampung Bukit Perpat, di sini menjadikan warga emas lali melalui bencana itu saban tahun.

Abdul Razam Putih, 78, berkata, setiap kali tibanya musim tengkujuh air Sungai Temala terletak berhampiran rumahnya akan melimpah hingga mengakibatkan banjir.

Menurutnya, pada tahun 70-an apabila berlakunya banjir, dia akan membawa masuk perahu ke dalam rumah untuk menempatkan ahli keluarganya, selain berlindung di kawasan bukit dan bina khemah.

Katanya, seiring peredaran zaman, situasi hadapi banjir juga berubah dan kini mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Dahulu situasinya lain, saya mengambil inisiatif sendiri untuk berpindah dan bukit menjadi pilihan kerana dahulu tiada jaringan jalan raya yang baik untuk ke tempat lebih selamat.

“Sekarang walaupun tiga hingga empat kali setahun terpaksa berpindah ke PPS, ia tidak menjadi masalah kerana akses untuk ke laluan utama mudah, selain dibantu anggota keselamatan,” katanya.

Abdul Razam berkata, dia takkan melupakan kenangan menghadapi banjir pada zaman dahulu terutama apabila perlu berlindung di atas bukit bersama anak-anaknya yang kini sudah berusia 55, 52, 48 dan 38 tahun.

“Adat hidup berjiran dengan sungai, sudah tentu menerima tempiasnya, namun semua sudah tinggal kenangan.

“Kini saya beralih, menghuni PPS apabila banjir. Saya akan jadi orang pertama bersama keluarga dibawa ke PPS berikutan rumah paling hampir dengan sungai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top