mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya sekadar nak kongsi berita gembira. Alhamdulillah … dengan isu viral sebelum ini, ada satu agensi pelancongan hadiahkan saya tunai umrah,” kata pelakon Danny X-Factor.
Danny atau nama sebenarnya, Mohd Kardanie Anwa, 44, berkata, dia tergamam dan terkejut apabila menerima berita yang dianggap sebagai hadiah teristimewa ini.
“Insya Allah… saya akan pergi pada Februari tahun depan. Inilah ganjaran terhadap usaha saya yang jujur cari rezeki sebagai pemandu e-hailing bagi menyara keluarga,” katanya kepada Harian Metro.
Danny menerusi TikTok live malam tadi diumumkan ditaja oleh syarikat Mitra Kembara Sdn Bhd untuk menunaikan umrah pada Februari depan.
“Saya dihubungi oleh Eksekutif Umrah syarikat ini, Akmal Zaki Ahmad Fadli baru-baru ini. Katanya dia pernah menjadi penumpang saya sewaktu mahu ke pejabat.
“Selepas beberapa minggu, dia ternampak di FYP (For Your Page) TikTok nya saya ditemubual oleh media yang bertanyakan tentang kerjaya saya pada masa sekarang.
“Kata Akmal, saya jawab yang saya jadi pemandu e-hailing dan dia merasakan cerita yang saya kongsi pada ketika itu sama jalan ceritanya seperti dilaluinya sebelum ini,” cerita Danny.
Menurutnya, Akmal sendiri pernah menjadi pemandu e-hailing pada tahun 2017 dan mengakui tidak ramai yang sanggup nak menjadi pemandu e- hailing.
“Perkongsian itu bermain dalam fikirannya, jadi secara peribadi dia sendiri yang pilih saya bagi berkongsi rezeki untuk menunaikan umrah bersamanya.
“Buat masa ini saya hanya umrah tanpa keluarga. Insya-Allah ada rezeki saya akan bawa mereka pula selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Danny mula bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak 2017 bagi membantu aspek kewangan keluarganya dan tiada niat berhenti dari pekerjaan terbabit.
Dia enggan menjadi beban sehingga terpaksa meminta duit isterinya yang bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan, selain memikirkan jaminan simpanan pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
