Wanita antara 17 ditahan kerana merusuh

Wanita antara 17 ditahan kerana merusuh

am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Seramai 17 individu termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kejadian merusuh dekat Queens Waterfront Q1, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira 2 pagi dibuat seorang lelaki.

Katanya, lelaki itu mendakwa sebelum kejadian, melihat teman wanitanya bersama lelaki lain dan berlaku pergaduhan kecil sebelum ia dileraikan wanita terbabit.

“Lelaki itu kemudian menghubungi rakan dan ibunya untuk berbincang secara baik dengan teman wanitanya, namun ketika mereka tiba, datang sekumpulan lelaki yang dianggarkan 10 orang, memukul kepala pengadu menggunakan topi keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sazalee berkata, mangsa berjaya melarikan diri dan terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

Katanya, susulan laporan, 15 lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 40 tahun ditahan di sekitar Pulau Pinang, dengan tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkait dadah.

“Kita merampas lima topi keledar disyaki digunakan ketika kejadian. Semua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top